Novel : Sungguh, Tulus Menyayangimu
oleh : Nabihah Taquddin
Bab 12
“Sayang, bangun sayang, abang dah nak pergi kerja
ni” Ahmad Ilman mengejutkan isterinya yang masih baring di atas katil.
“Apanya abang, baru pukul berapa” kata isterinya
yang masih mamai.
“Sayang, dah lewat ni, abang pergi dulu ya” katanya
sambil mencium dahi isterinya.
Ahmad
Ilman memandu kereta menuju ke pejabatnya. Hari ini badannya sungguh segar
memandangkan semalam badannya diurut lembut oleh isterinya. Sentuhannya
menambahkan lagi kasihnya terhadap isterinya. Ke mana sahaja dia berjalan, dia
asyik tersenyum sehingga kawannya menegurnya.
“Kau
ni kenapa Ilm, aku tengok kau asyik tersenyum-senyum, ada sesuatu tak kena ke?”
kata Zulfahmi.
“Alah
kau ni, senyum pun salah ke, senyum itu kan sedekah”
“Tu
aku tahulah tapi ni dah sampai tahap serius ni, boleh call hospital bahagia”
“Ke
situ pulak kau..ish..ish” Mereka serentak ketawa. Idea kawannya benar-benar
menggelikan jiwanya.
Nura
Afyna baru menyedari yang dia terlewat bangun. Lantas, segera dia bangun dan
mengemas kamar tidurnya bersama suaminya. Hatinya kini sudah mula untuk
menerima seorang lelaki bernama suami. Hatinya tenang ketika berada di sisi suaminya.
Suaminya seorang yang memahami akan dirinya. Setelah itu, dia membersihkan
ruang tamu dan dapur. Sebagai seorang perempuan pastinya dia suka kepada
keindahan. Jadi dia pun merancang untuk menghiasi langsir, kerusi dan dinding. Matanya
seperti ada yang tak kena saat melihat semua barang itu. Timbul pula rasa nak
beli baru. Dia berkira-kira nak cari duit untuk membeli barang-barang itu. Mana
aku nak minta duit ni, getus hatinya. Kalau dulu, bolehlah minta dekat emak. Emak
pasti memenuhi kehendaknya. Tapi sekarang dia bersama suaminya, malulah nak
minta-minta dekat dia. Macam mana pun dia tetap tak suka perabot yang berada di
hadapannya. Satu-persatu senarai barang ditulisnya di atas sehelai kertas
berwarna putih untuk dibeli. Mungkin nampak susah untuk dipenuhi, tapi kalau
bersatu kumpul duit pasti akan tertunai juga hajatnya. Itu yang difikirkannya
ketika menambah senarai-senarai yang perlu dibeli.
“Abang,
Fyna rasa kita patut tukar barang-barang ni semua” katanya sambil tangannya
menunjukkan semua perabot di hadapannya serta kertas putih tadi.
“Apa!
Banyaknya barang, buat apa semua ini, benda-benda tu semua masih elok dan boleh
dipakai, janganlah membazir sayang” jelas suaminya.
“Tu
Fyna tahu, tapi kita boleh kumpul duit sama-samakan untuk beli barang-barang
tu, bolehlah abang” katanya dengan mengelip-ngelip matanya.
Ahmad
Ilman berfikir panjang sebelum bersetuju dengan cadangan isterinya. Kumpul duit
atau simpan duit?. Tu semua dia pernah fikirkan tapi belum berbincang dengan isterinya
mengenai hal ehwal kewangan. Orang kata kalau kewangan tak stabil, rumah tangga
mungkin akan goyah. Dia rasa dia perlu buat perancangan awal dalam menguruskan
hal kewangan keluarga.
“Kalau
macam tu, boleh, nanti kita bincang lagi, abang letih lah”
Malam
pun menjelma. Mereka berkumpul di meja bulat berwarna kelabu seperti pekerja
yang menghadiri mesyuarat di pejabat. Mesyuarat ini lebih gempak daripada
mesyuarat di pejabat. Semua ini demi masa depan kehidupan mereka bersama.
Seperti biasa, buku-buku audit tersedia di atas meja dan buku ‘Diari Kami’
turut ada. Namun, buku akaun masing-masing tersimpan rapi oleh pemiliknya.
Ahmad Ilman mungkin sudah bersedia untuk menunjukkan harta-hartanya di bank kepada
isterinya. Nura Afyna pula hanya perlu menunggu arahan daripada Ahmad Ilman
untuk menunjukkan hartanya. Dia baru mendapat ganjaran daripada emaknya
sebanyak dua ribu dan semestinya berasa bangga dengan jumlah baru di akaun
banknya.
“Tunjuk
buku akaun, berapa banyak ada dalam bank tu” kata suaminya.
“Mana
boleh, duit isteri tetap milik isteri”
“Oh, siapa kata?”
“Ustazah dekat sekolah”
“Baiklah
sayangku ustazah Fyna”
“Betul
tu”
“Kalau duit suami, jadi
milik isteri tak?”
“Jadi, sebab tugas suami
kena bagi nafkah zahir dan batin”
“Tak nak tunjuklah, nanti
sayang habiskan”
“Berahsia
pula abang ni, bagi tahulah, Fyna ada hak tau kat duit tu”
Ilman
menunjukkan buku akaunnya. Terbeliak mata Nura Afyna dibuatnya. Kaya juga suami
aku ni, terdetik di hatinya. Kalau dicampur dengan tanah wasiat arwah emak mentuanya
boleh mencecah puluhan ribu. Tapi suaminya pandai menyimpan duitnya dengan
jalan yang halal iaitu berkahwin dengannya daripada berseronok dengan perempuan-perempuan
ajnabi yang asing baginya untuk bersentuhan.
Mereka
memulakan mesyuarat yang dikatakan oleh Ahmad Ilman sangat gempak. Selepas
ditutup semua tingkap yang ada, mereka memulakan perbincangan. Mereka membuat
perancangan masa depan dengan membuat senarai yang perlu dikecapi dalam masa
sepuluh tahun dari sekarang. Perkara-perkara yang dicatat dalam buku
termasuklah membeli perabot baru, simpanan pembelajaran Nura Afyna, simpanan
pembelajaran Ahmad Ilman untuk menyambung ijazah sarjana, dan simpanan untuk
kediaman baru. Soal anak turut dibincangkan, muka Nura Afyna merah padam juga
saat membincangkan soal itu. Suaminya nak empat orang anak manakala dia pula cukuplah
dua dulu. Dia sendiri belum bersedia menjadi
seorang ibu. Sikap keanak-anakan masih melekat dalam dirinya. Ahmad Ilman sebenarnya
tak kisah tapi itu cuma target. Orang
kata rancang awal-awal lagi bagus daripada tergesa-gesa mendapatkan anak. Tapi
mereka masih bergantung pada rezeki masing-masing, kalau ada rezeki adalah
nanti.
Soal
pembelajaran anak turut dibincangkan. Masa depan anak-anak terletak pada usaha
ibu bapa yang menjaga dan membesarkan mereka. Entah macam mana mereka boleh
begitu arif mengenai hal-hal ni pun tak tahulah. Mungkin pernah mewawancara ibu
bapa masing-masing mengenai soal kewangan. Tiba-tiba timbul pula soal bil
utiliti seperti bil air dan bil elektrik. Mereka hampir terlupa soal itu. Setelah
melihat kipas yang berputar-putar, barulah Ahmad Ilman teringat dia belum lagi membayar
bil-bil tersebut.
“Esok
baru abang nak bayar, nasib baiklah teringat, kalau tak dah lama duduk dalam
gelap” katanya.
“Apa
abang ni, boleh lupa pula, tak pe lepas ni setiap kali bil-bil tu sampai, kita
bayar sama-sama, guna internet kan boleh” kata isterinya sambil tersenyum diakhir
bicara.
Jam
telah lewat malam. Semua buku dan fail-fail disimpan rapi di dalam almari buku.
Mereka berjanji akan bekerjasama sebagai rakan kongsi yang amanah lagi
bertanggungjawab. Seronok pula Nura Afyna dibuatnya. Pakai perjanjian pula. Itu
semua idea suaminya, dia hanya mengangguk dengan segala idea yang terluah. Baik
untuk diri suaminya maka baik jugalah pada dirinya. Dia kan baru lepas SPM,
pengalaman pun sedikit dibandingkan suaminya yang sudah tiga tahun bekerja.
Dia
memasuki bilik air manakala suaminya masih mengemas meja bulat. Setelah dia
keluar, dilihatnya kepala suaminya sudah terlentok di atas sofa. Dia
mengejutkan suaminya tetapi suaminya sudah tidur mati. Tiada apa-apa respon. Takkan nak tinggalkan begitu saja. Emaknya selalu
berpesan kepadanya di mana jua suami berada, isteri perlulah sentiasa di
sisinya. Jadi dia mengambil selimut dan bantal untuk tidur di atas sofa
bersama-sama suaminya. Badan suaminya diselimutkan olehnya, begitu juga dengan
dirinya. Memandangkan matanya terlalu layu, jadi mudah sahaja dia terbuai
dengan mimpi-mimpi indah. Mereka pun terlena di atas sofa.
Setelah mendengar laungan azan, mata
Ahmad Ilman terbuka. Dilihatnya isterinya berada di sebelahnya. Sejuk hatinya
melihat isterinya yang sedang lena tidur.
“Sayang,
sayang, mari masuk bilik, kita solat subuh dulu” dia mengejutkan isterinya dari
tidur dengan menggoncang perlahan bahu isterinya.
Isterinya
tersedar daripada tidur. Dia memimpin isterinya memasuki bilik memandangkan
isterinya masih tidak sepenuhnya sedar. Masuk sahaja dalam bilik, isterinya
terus merebahkan diri di atas katil. Dia memasuki bilik air untuk mandi sebelum
dia bertolak pergi kerja. Selesai mandi, isterinya pula memasuki bilik air. Walaupun
bilik air ada dua, tetapi hanya satu bilik air yang ada semua barang kebersihan
mereka berdua. Bilik air di bilik sebelah hanya digunakan waktu kecemasan. Kadang-kadang
mereka berebut juga nak masuk bilik air
di bilik utama. Ketika Nura Afyna keluar dari bilik air, dia melihat suaminya
sedang menunggu dirinya di atas sejadah menghadap arah kiblat. Cepat-cepat dia
bersiap untuk menunaikan solat. Mereka solat subuh berjemaah.
<<Bab 11
Bab 13>>
0 comments:
Post a Comment
Komen daripada pembaca amat dialukan-alukan.
Sebutir kata yang dihasilkan boleh mengubah seseorang kepada yang lebih baik.