Cerpen: Doa Kudus Bidadari Hatiku
boleh juga dibaca di laman D'Ilham dan Wattpad
Suasana sepi. Hanya angin malam
berhembus. Sejuk menyelubungi tubuh Maizatul. Dia hampir menggeletar namun
cepat-cepat dia menyelimuti tubuhnya dengan selimut tebal milik Khairul. Dalam
kegelapan malam yang hanya diterangi cahaya bulan purnama kemerahan jingga,
Maizatul cuba untuk bangun daripada terus terbaring di atas katil bersaiz king
di dalam kamar tidurnya. Dia duduk seketika di tepi katil sambil mindanya
mengingati mimpi yang baru dialaminya.
Maizatul bangun dari
katil dan mencapai sarung kaki berwarna biru muda yang berada di bawah katil. Dia menyarungkan sarung kaki itu ke kakinya. Sebelum itu sempat
juga dia menggeliat, merenggangkan sendi-sendi badannya setelah beberapa jam lena
dibuai mimpi. Badannya sudah berpeluh-peluh. Kesemua lampu di dalam kamar itu
sudah terpadam. Di fikirannya sekarang, hanyalah satu, untuk menyalakan lampu
utama di dalam bilik setor.
Perlahan-lahan dia
melangkah mencari sesuatu di laci almari berdekatan katil. Segugus kunci
bersama lampu suluh dicapai. Semasa menuruni tangga ke tingkat bawah, pipinya
disentuh angin luar yang berpuput masuk melalui jendela-jendela rumahnya yang tidak
ditutup. Aduh, lupalah pula nak tutup tingkap-tingkap ni, rungut hati kecilnya.
Dia perlu turun ke
tingkat bawah untuk ke bilik stor. Dentuman kilat yang kuat menyebabkan bekalan
elektrik terputus. Setelah pintu setor dibuka, suis utama ditolak ke atas.
Cahaya lampu menerangi seluruh sudut rumahnya. Hatinya begitu gembira. Namun
tidak sampai lima minit berada dalam kemeriahan lampu memancar-mancar, suis
utama tertolak ke bawah semula.
“HAH!!” Maizatul
menjerit ketakutan.
Suaranya bergema di seluruh ruang
rumah. Hembusan nafasnya jelas kedengaran. Jantungnya berdetak laju . Dia
menaikkan kembali suis utama itu. Kali ini, dia menahan suis itu daripada
tertolak ke bawah kembali. Apabila semuanya sudah stabil, dia melepaskan suis
perlahan-lahan. Suis itu tidak beranjak sedikit pun dan berjaya sudah misinya
pada malam itu. Malam?, hatinya tertanya-tanya. Dia melihat jam di dinding.
Jarum pendek menunjukkan pukul tiga dan jarum panjang lagi lima belas minit
untuk ke pukul empat. Mana abang ni?, keluh hatinya menanti kepulangan suami
tercinta. Dia menutup pintu bilik stor dan menguncinya kembali. Dia kembali ke
tingkat atas, satu persatu anak tangga dinaiki, dari satu tingkat ke satu
tingkat yang lain. Besar juga rumah aku ni, kata hatinya dan dia tersenyum.
“Kenapa abang beli rumah
besar-besar, tiga tingkat pula tu padahal kita bertiga je yang tinggal dalam
rumah ni?” tanya Maizatul kepada suaminya.
“Sebabnya abang sayang
Mai dan Shafiqah” jawab Khairul dengan lembut.
“Tapi tak semestinya
rumah perlu besar, kita kan boleh hidup di rumah lama kita yang dulu”
“Sayang” Khairul seakan
memujuk.
“Ya abang ”
“Sayang tak bersyukur
dengan kurniaan Allah?” Khairul memandang wajah isterinya dengan penuh kasih.
“Maafkan sayang tapi
abang, sayang letih nak kemas semua ni, abang bukannya nak ambil orang gaji
kemaskan semua ni”
“Sayang tahu kisah
Saidina Ali dan kekasih halalnya, Saidatina Fatimah Az-Zahra? Walaupun mereka
meminta budak yang ayahanda mereka baru dapat, namun Rasulullah tak
mengizinkannya. Rasulullah nak anaknya, Saidatina Fatimah mendapat pahala sebab
menjaga rumah tangga yang dibina. Rasulullah mengajar anaknya membaca tasbih sebanyak
33 kali, tahmid sebanyak 33 kali, dan takbir sebanyak 34 kali, sehingga genap
100 setiap kali sebelum tidur, kata Rasulullah nescaya kamu akan bahagia dan
rezeki akan melimpah ruah” nasihat Khairul pada Maizatul.
“Yalah, lepas ni sayang
ikut apa yang Nabi suruh buat tu, kita baca sama-sama ya”
“Macam tulah isteri
abang, abang nak isteri abang ni dapat pahala sebab jaga rumah tangganya, nanti
abang bantu sekali ya” puji Khairul sambil memegang lembut hidung Maizatul.
“Terima kasih abang ”
“Sama-sama, abang sayang
Mai” kata Khairul lalu mencium dahi dan memeluk Maizatul dengan erat.
Kata-kata itu bermain di benak
mindanya sewaktu menaiki tangga. Dia sudah berada di dalam kamar tidurnya.
Khairul masih belum pulang dari tempat kerjanya, bekerja lebih masa. Sebelum
tidur, Maizatul mengambil wuduk dan menunaikan solat tahajud. Alang-alang dah
bangun tengah malam, buatlah solat tahajud untuk mendekatkan diri kepada Sang
Pencipta. Lampu ditutup dan pendingin hawa dipasang. Badan Maizatul diluruskan
di atas tilam yang empuk dan selimut ditarik menutup dadanya. Matanya dipejam
sambil berzikir di dalam hatinya.
Matanya
berkerdip-kerdip setelah mendengar alunan azan solat subuh. Khairul sudah tidur
di sebelahnya. Pakaian pejabatnya masih melekat di badannya. Mungkin terlalu
letih bekerja sepanjang malam. Maizatul mengukir senyuman. Dia bangun dan
memegang bahu Khairul.
“Abang,
bangun abang, dah masuk subuh ni” kata Maizatul sambil menggoncang lembut bahu
Khairul.
Khairul terbangun . Namun dipejam
semula matanya apabila melihat jam di tangan baru pukul enam pagi.
“Abang mengantuklah
sayang . Sayang solat dulu ya, nanti gerak abang”
“Ok. Nanti sayang gerak
jangan cari alasan lagi”
Khairul hanya mengangguk tanpa
mengeluarkan suara. Maizatul turun dari katil dan memasuki kamar mandi untuk
bersuci. Usai selesai menunaikan solat subuh, dia mengejut kembali suaminya.
“Abang dah pukul enam
setengah ni, cepat bangun” bisik Maizatul di telinga Khairul.
“Mengantuk lagilah
sayang ”
“Abang, kena lawan
mengantuk tu nanti tertinggal pula subuh” kata Maizatul sambil tangannya
menarik tangan Khairul untuk duduk.
Khairul sudah duduk .
Namun matanya masih terpejam.
“Abang!” kata Maizatul
dalam nada yang tinggi sedikit.
“Ya..ya” Khairul
terkejut lalu terus masuk ke dalam bilik air.
Usai
mandi di dalam bilik air, Khairul bersiap-siap untuk menunaikan solat. Iqamat
dilaungkan dan rukun solat ditunaikan satu per satu. Dari jauh Maizatul
memerhatikan suaminya sedang solat. Hatinya tenang dan bahagia bersama Khairul.
Doanya akhirnya termakbul setelah sekian lama berdoa. Allah telah memberi
hidayah kepada Khairul. Peristiwa di Taman Tasik membawa seribu satu makna
dalam hidup mereka berdua sebagai suami isteri. Sikap Khairul sudah berubah.
Dia sudah tidak panas baran seperti dulu. Solat pun diutamakan . Maizatul
mengendong Shafiqah apabila menangis. Dia duduk dan menyusukan Shafiqah di atas
katil. Maizatul turun ke bawah untuk ke dapur setelah Shafiqah sudah lena
kekenyangan.
Khairul
mengaminkan doanya dan terus ke bilik peribadinya di tingkat dua. Di bilik, dia
mencari album gambar-gambarnya ketika zaman remaja. Satu per satu helaian album
dibeleknya. Teringat kembali memori-memori lama zaman pengajiannya di
universiti. Di situlah perkenalannya bersama Maizatul bermula. Betapa indah
jika dikenang semula. Terkenang juga kawan-kawan lamanya. Mereka semua sudah
berkahwin dan beranak-pinak. Walaupun usia perkahwinan Khairul dan Maizatul
sudah masuk tahun ketujuh, baru sekarang dia merasai hidup berkeluarga.
Shafiqah yang telah berusia dua tahun menjadi penyeri dalam rumahtangga mereka.
Hatinya sebak mengingat kembali saat dia melaungkan azan di telinga Shafiqah
yang berada di pangkuannya. Bergenang air mata dibuatnya. Ketukan pintu
meleraikan ingatannya pada kisah lalu. Maizatul telah mengetuk pintu biliknya.
Khairul membuka pintu. Mata Maizatul bertelagah dengan mata Khairul.
Cepat-cepat Khairul mengelap matanya dengan lengan bajunya.
“Abang ok ke?”
“Ok je, cuma masuk habuk je ni”
“Meh sini dekat sayang, Mai tiupkan
mata abang” kata Maizatul sambil menghembus lembut di kedua-dua mata Khairul.
“Kalau pedih lagi, nanti sayang
titiskan eyemo dekat mata abang”
“Tak apa sayang, lepas Mai hembus
tadi, mata abang jadi sihat” Khairul mengukir senyuman.
“Ada-ada je abang ni” kata Maizatul
sambil menggeleng-gelengkan kepalanya.
“Abang, jom turun, kita makan
bersama-sama, sayang dah buat makanan kesukaan abang” sambung Maizatul.
“Abang dah kenyanglah sayang”
“Tapi abang.. tak apalah” Maizatul
seakan-akan merajuk lalu menoleh ke belakang untuk menuruni tangga.
Semasa
Maizatul menuruni satu anak tangga, Khairul mencapai jemari Maizatul. Maizatul
menghentikan langkah dan menoleh ke belakang memandang Khairul dengan pandangan
sayup.
“Mai sedih ke?”
“Mana ada!” kata Maizatul dengan laju
dan menoleh ke arah lain mengelakkan air matanya jatuh ke pipi mulusnya.
“Sayang tunggu kejap ya, nanti abang
turun. Abang bergurau je tadi, abang lapar sebenarnya” pujuk Khairul.
“Yes!”kata Maizatul dengan perlahan.
“Apa?” kata Khairul mengusik isterinya.
“Sayang cakap ok, sayang tunggu
dekat bawah ya abang” Maizatul tersenyum.
Maizatul
turun dengan hati yang senang. Sudah lama Maizatul tidak makan bersama-sama
Khairul. Awal-awal pagi lagi, Khairul sudah keluar untuk ke pejabatnya. Balik
pula lambat. Tinggal Maizatul dan Shafiqah di rumah. Maizatul tidak bekerja
semenjak mendapat anak. Memandangkan Maizatul asyik tertekan apabila bekerja,
Khairul menyuruhnya berhenti kerja. Khairul tidak mahu melihat Maizatul sedih
lagi. Tekanan yang dihadapinya sering berakhir dengan keguguran janin. Sabtu
dan Ahad barulah Khairul berada di rumah meluangkan masa bersama keluarga
tercinta. Hati perempuan mana yang tidak sedih, bila sudah masak
sungguh-sungguh untuk orang istimewa, dikatanya sudah kenyang. Khairul turun
dengan senyuman di bibir sambil menggendong Shafiqah.
“Jom kita makan, dah lama abang tak
rasa air tangan sayang” kata Khairul bila sudah duduk di hadapan meja makan.
Shafiqah diletakkan di atas tilam kecil dan dibiarkan bermain dengan anak
patung lembut.
“Ehm, doa?” kata Maizatul bila
melihat suaminya tidak sabar-sabar menyuapkan nasi lemak ke dalam mulutnya.
“Laa, ingatkan apalah tadi asyik
tengok abang, rupanya baca doa” jawab Khairul seterusnya membaca doa makan.
Maizatul
masih belum menjamah makanan. Matanya memerhatikan Khairul yang begitu tekun
merasai air tangannya. Hatinya begitu gembira melihat suami dan anaknya berada
di sisinya.
“Tunggu abang puji ya? Sayang, nasi
lemak ni sedap sangat!” Khairul bersuara apabila mengetahui isterinya asyik
melihatnya semenjak tadi.
“Terima kasih, sayang tengok abang
bersemangat makan nasi lemak tu”
“Dah sedap, mestilah bersemangat”
balas Khairul.
Maizatul
menyuapkan nasi lemak buatannya sendiri. Rasanya lebih sedap daripada chef
ternama. Lagi sedap kalau abang suapkan, bisik hati Maizatul. Khairul perasan
Maizatul senyum sendirian.
“Ni mesti ada apa-apa ni, teringat
apa sampai senyum sorang-sorang” kata Khairul.
“Tak ada apa-apa”
“Nak abang suap ya” kata Khairul
sambil mengenyitkan mata. Tanpa menunggu jawapan daripada Maizatul, Khairul
menyuapkan nasi ke dalam mulut Maizatul. Pipi Maizatul kemerahan. Dia pun
melakukan hal yang sama.
“Lepas ni bersiap ya, kita pergi
jalan-jalan”
“Baik abang”
***
“Kita nak ke mana ni?” tanya
Maizatul kepada suaminya semasa berada di dalam kereta.
“Kita nak pergi taman”
“Taman?” kata Maizatul seakan-akan
teringat sesuatu.
Selepas
itu, Khairul mendiamkan diri membiarkan Maizatul tertanya-tanya di dalam hati.
Khairul membelok ke kiri dan mereka sudah sampai ke destinasi yang dituju.
Papan tanda besar terpampang di hadapan kereta mereka. Taman Tasik, itulah yang
tertulis di papan tanda. Maizatul membuka pintu kereta. Dia memandang
sekeliling, memandang setiap kawasan di Taman Tasik Taiping. Shafiqah sudah
lena, jadi Khairul mengeluarkan kereta sorong bayi dan meletakkan Shafiqah di
dalamnya. Mereka berjalan beriringan. Maizatul menolak kerusi sorong manakala
Khairul membawa roti yang dibelinya di kedai roti sewaktu dalam perjalanan ke
Taman Tasik. Apabila terjumpa sebuah bangku, Khairul mengajak Maizatul duduk di
bangku kayu berwarna perang tua. Mereka terpegun dengan keindahan tasik di
hadapan mereka.
“Sayang masih ingat taman ni?” tanya
Khairul yang duduk di sebelah Maizatul.
“Mestilah sayang ingat, banyak
kenangan kita di sini” jawab Maizatul tanpa menoleh ke arah Khairul.
“Betul tu sayang, memori semasa kita
bercinta awal-awal dulu, memori anniversary pertama kita, memori masa abang…”
percakapan Khairul terhenti. Dia menjadi senyap. Maizatul berasa pelik dan
apabila dia memandang wajah suaminya, mata Khairul sudah bergenangan dengan air
mata.
“Kenapa ni abang?” kata Maizatul
dengan memandang tepat mata Khairul.
“Abang tahu, abang banyak
menyusahkan Mai, sepanjang perkahwinan kita” kata Khairul dengan sebak lalu tangannya
mengenggam erat tangan Maizatul dan pandangan matanya tertumpu pada wajah mulus
Maizatul.
“Let bygones be bygones, abang
jangan salahkan diri abang seorang, semua yang terjadi ada hikmahNya” Maizatul
menutur dengan perlahan menenangkan suaminya.
“Selepas mendapat hadiah pertama
tiga ratus ribu, tiga tahun lalu di taman ni, sekejap sahaja abang bersyukur
dengan membuat rumah untuk kita. Setelah beberapa bulan, abang lupa sayang,
abang lalai dengan hal keduniaan sehingga abaikan suruhan Allah”
“Sayang bersyukur abang berubah dan
sayang redha bila Allah menguji rumahtangga kita”
TUK..TUK..TUK,
bunyi pintu diketuk kuat beberapa kali.
“Abang ke tu? Tunggu sekejap” jerit
Maizatul dari tingkat dua menuju ke bawah.
Maizatul
membuka pintu. Apabila pintu terbuka, Khairul kelihatan mabuk dengan bau
mulutnya yang busuk minum minuman keras. Khairul membaling beg galasnya ke arah
Maizatul. Beg itu terkena bahu Maizatul lalu dia terjatuh ke atas lantai.
Khairul tidak menghiraukan Maizatul yang sudah terduduk di atas lantai lalu
menaiki tangga meninggalkan dirinya seorang diri. Hatinya begitu sedih. Dia
tersentuh dengan perlakuan Khairul. Khairul menipunya di hadapan ibu bapanya
tempoh hari. Dia hanya mampu berdoa di dalam hati moga satu hari nanti hati
Khairul terbuka untuk kembali ke pangkal jalan. Dalam kegelapan malam dan lampu
yang tidak terpasang, Maizatul menangis kesedihan. Khairul yang sepatutnya
menjadi tempat untuk dia berteduh dan berkongsi kasih sayang tidak dapat dia
miliki saat ini. Dia tahu suaminya berubah sikap kerana dirinya. Dirinya yang
masih belum berbadan dua walaupun sudah lima tahun menanti.
“Hei kenapa tak gerak aku, aku dah
lambat ni” jerit Khairul kepada Maizatul dari tingkat tiga. Suaranya begitu
lantang sehingga Maizatul tersedar dari tidurnya. Dia tertidur di atas sofa di
ruang tamu semalam. Dia terus menaiki anak tangga dan menemui Khairul.
“Kau tak dengar ke? Aku tanya
jawablah” maki Khairul.
“Abang tolonglah, sakit” kata
Maizatul sehingga air matanya mengalir di pipinya kerana Khairul menarik-narik
rambutnya yang panjang paras bahu.
“Tahu pun sakit, yang aku tengah
sakit ni, kau tak peduli pula”
Hati Khairul begitu keras. Solat
yang menjadi kewajipan setiap muslim ditinggalnya. Hatinya semakin lama menjadi
hitam dengan dosa-dosa yang dilakukannya. Walaupun Maizatul menangis
teresak-esak di hadapannya, hatinya langsung tidak tersentuh. Peristiwa ini
berlaku rentetan daripada perbualan mereka bersama mak dan ayah Khairul. Mereka
pulang ke kampung semasa cuti akhir tahun. Ketika mereka bersantai di ruang
tamu, tiba-tiba ayah Khairul membuka mulut.
“Korang ni bila nak bagi
cucu pada kami, dah tiga tahun asyik pulang kampung berdua je?” tanya ayah
dengan memandang Khairul dan Maizatul silih berganti.
“Belum ada rezeki lagi
ayah” kata Khairul menjawab pertanyaan ayah dengan lembut.
“Kami ni bukan apa
Maizatul, kalau dah macam ni, kamu sepatutnya izinkan Khairul ni kahwin lain,
kami pun dah ada calon untuk Khairul” sergah emak seperti menyalahkan Maizatul
dalam hal ini.
“Emak!” kata Khairul
serentak berdiri tanda tidak setuju. Maizatul sudah berlari memasuki bilik.
“Apanya, dah dia mandul,
bukannya salah kamu!” balas mak Khairul.
“Emak sepatutnya doakan
kebahagiaan kami, bukannya salahkan Mai”
“Kamu ni yang bela
sangat dia tu kenapa, kami cuma nak kamu bahagia”
“Khairul bahagia hidup
dengan Mai, Mai isteri Khai, mak kena faham” kata Khairul lalu meninggalkan
mereka berdua.
Khairul memasuki bilik. Pada satu
sudut bilik, di atas katil, Maizatul sudah menangis teresak-esak. Muka Maizatul
diterkap dengan bantal. Khairul duduk di sebelah isterinya, dan mengusap-usap
belakang badan Maizatul.
“Sayang janganlah sedih”
Khairul memujuk Maizatul namun tiada apa-apa reaksi, tangisannya makin galak.
“Abang sayang Mai, abang
terima Mai seadanya, tak ada perempuan lain selain Mai seorang dalam hati
abang” Khairul menyambung ayatnya sambil memeluk Maizatul dari sisinya.
Khairul turut sedih dengan kata-kata
keluarganya sebentar tadi. Namun kesedihannya tidak ditunjukkan di hadapan Maizatul.
“Abang ikutlah cakap mak
abang tu, mungkin itu yang terbaik untuk abang” kata Maizatul dalam
tersekat-sekat suaranya kerana terlalu sedih.
“Sayang, dah..dah.. mak
tak bermaksud pun nak cakap macam tu”
“Abang, Mai nak balik,
tak sanggup lama-lama di sini” kata Maizatul sambil memegang lengan Khairul.
“Sayang tak boleh macam
ni, nanti apa pula kata mereka”
“Tapi abang…”
“Abang kan ada” kata
Khairul sambil memegang bahu isterinya.
“Abang, maafkan sayang”
kata Maizatul lalu memeluk erat suaminya itu.
Setahun kemudian, masih tiada
apa-apa perubahan yang berlaku. Maizatul masih tidak berbadan dua. Kasih sayang
Khairul makin lama makin renggang. Khairul sudah menunjukkan rasa bosan dengan
Maizatul. Khairul sudah beralih kepada yang lain. Khairul menjalin hubungan
dengan perempuan lain di belakang Maizatul. Maizatul mendapat tahu hal ini
apabila mengesyaki sesuatu yang tidak kena terhadap Khairul. Khairul sering
pulang pada lewat malam melebihi waktu kerjanya. Bajunya penuh dengan haruman
minyak wangi ros sedangkan waktu sudah larut malam. Suatu malam, Maizatul
bernekad mengekori kereta Khairul dari belakang apabila Khairul selesai
kerjanya pada pukul lapan malam sebagai pegawai eksekutif di sebuah kilang
semen Carsem. Kereta yang dipandu Khairul menuju ke sebuah kelab malam. Betapa
hancurnya hati Maizatul. Hatinya menjadi tidak keruan tatkala seorang perempuan
seksi menyambutnya di depan bar lalu memeluk suaminya. Mereka terus masuk ke
dalam bar. Maizatul tak mampu bergerak, hatinya begitu sakit, pedihnya seperti
dicucuk dengan pisau yang begitu tajam.
Dia terlalu lemah untuk keluar dan menyerang perempuan seksi itu.
Matanya sudah dipenuhi dengan air mata bak mata air ketika suaminya bermesraan
dengan perempuan lain di belakangnya.
‘Ya Allah, kuatkanlah aku, aku tak
kuat menghadapi ini semua ini, begitu berat ya Allah ujianMu ini’ doa Maizatul
dalam hati.
Setelah beberapa minit berlalu, dia
memandu kereta menuju ke rumah ibunya. Dalam perjalanan, Maizatul tidak
putus-putus berzikir di dalam hati. Apabila tiba di hadapan rumah ibunya, dia
hanya mengetuk pintu rumah. Nasib baik ibunya mendengar ketukan pintu lalu
membuka pintu.
“Ibu” kata Maizatul lalu
memeluk ibunya.
“Kenapa ni nak, apa yang
Khai dah buat dekat Mai?” kata ibu apabila dia mendengar Maizatul sudah
menangis teresak-esak di atas bahunya. Ibu menenangkan hati Maizatul yang
berterabur. Beberapa minit kemudian, Maizatul meleraikan pelukan dan terus
mencapai pisau di dapur.
“Mai!” jerit ibu.
“Kalau macam nilah ibu,
Mai rela mati!” jerit Maizatul sepuas hati sambil pisau sudah berada di atas
pergelangan tangannya.
“Mai, istighfar nak,
ingat Allah, bukan macam ni caranya”
“Abang Khai tak cintakan
Mai, ibu” teriak Maizatul melepaskan sakit hatinya.
Ibu perlahan-lahan mengambil pisau
di tangan Maizatul. Pisau berjaya diambil. Maizatul terduduk dan beristighfar
di dalam hatinya. Hatinya menjadi lebih tenang setelah mengingati ar-Rahim.
Bapanya baru pulang dari kedai runcit. Bapanya terperanjat dengan perlakuan
Khairul terhadap anak bongsunya. Dia sangat marah dan terus ke kelab malam yang
diberitahu Maizatul. Apabila sampai, dia masuk ke dalam bar dan menarik Khairul
keluar dari kilauan maksiat yang bergelora.
“Kurang ajar punya
menantu” tapak tangan bapa menghinggap pipi Khairul.
Khairul
jatuh ke bumi. Tamparan itu benar-benar menyakitkan tetapi sakit lagi hatinya
terhadap Maizatul yang telah memberitahu keluarga mentuanya tentang
kecurangannya.
“Kalau kau tak berubah jangan harap
kami lepaskan Mai dengan senang” bapa meninggalkan Khairul terpinga-pinga
sendirian. Lagi lama berada di situ, makin dalam marah yang sedang membara di
hati bapa melihat Khairul berfoya-foya dengan perempuan lain sedangkan isteri
sendiri sedang bersedih.
Khairul
tidur sendirian di rumah banglonya hasil usaha bersama mendapat hadiah utama
yang dimenanginya. Dia tidak mempedulikan kata-kata bapa mentuanya. Baginya
yang paling penting pada saat itu, merebahkan diri di atas katil empuk dalam
kamar. Denyut-denyut kepalanya begitu merunsingkan kepalanya. Khairul menjerit
sekuat hati menahan sakit. Setelah beberapa lama, dia terlena. Keesokan
paginya, Khairul datang ke rumah mentuanya untuk menjemput Maizatul pulang ke
pangkuannya. Tiba di hadapan pintu rumah, Khairul memberi ucapan salam.
Salamnya disambut bapa. Bergetar jiwa Khairul melihat wajah garang bapanya.
“Waalaikumussalam, ada apa datang
pagi-pagi ni” sahut bapa.
“Bapa maafkan Khairul” Khairul
menghulur tangan untuk mencium tangan bapa mentuanya.
“Kau ingat senang-senang ke kami nak
bagi balik Maizatul dekat kau” kata bapa dengan menepis huluran tangan Khairul.
“Khai betul-betul menyesal sekarang
ni” rayu Khairul yang memegang jeriji pintu.
“Kau tahu betapa sakitnya hati Mai
sekarang ni, suami jenis apa kau ni hah, pergi joli dengan perempuan lain
sedangkan isteri ditinggalkan keseorangan di rumah”
“Mai, maafkan abang, kita pulang ya”
pujuk Khairul setelah tidak diizinkan bapa untuk masuk ke dalam rumah.
“Apa tunggu lagi, berambuslah, Mai
pun tak sudi nak jumpa dengan kau lagi” kata bapa sebelum Khairul melangkah
keluar dari kawasan rumah.
“Tak
apa sayang, jual mahal ya, siaplah nanti” kata Khairul sendirian sebelum masuk
ke dalam kereta. Kereta dipandu Khairul terus ke pejabatnya. Malamnya, Khairul
tetap ke kelab malam. Masih tidak serik dengan teguran bapa mentuanya. Tepat
jam tiga pagi barulah Khairul pulang ke rumah. Semasa tiba di depan rumah, ada
sekumpulan samseng menyerangnya dari belakang. Dia ditumbuk bertubi-tubi di
seluruh badannya sehingga berdarah dan lebam. Khairul menjerit meminta tolong
namun tiada sesiapa yang mendengarnya.
“Kau
ingat kau boleh rampas girlfriend aku, nahaslah kau kalau aku nampak kau berdua
lagi dengan dia” kata teman lelaki kepada perempuan seksi tempoh hari. Khairul
mengerang kesakitan dan tidak mampu berbuat apa-apa. Dia ditinggalkan sendirian oleh kumpulan samseng. Khairul
masuk ke rumah dengan mengesok badannya ke pintu rumah.
“Dia
ingat aku apa? Bawa samseng bolehlah, kalau satu lawan satu, tak berani pula!”
Misi
membawa pulang Maizatul tetap diteruskan pada keesokan paginya. Kali ini,
Khairul betul-betul tekad membawa pulang Maizatul ke pangkuannya walauapapun
yang akan terjadi. Pintu diketuk beberapa kali. Maizatul membuka pintu. Namun,
ditutup semula setelah melihat wajah Khairul. Khairul menahan pintu daripada
ditutup.
“Sayang, janganlah macam ni, abang
janji abang berubah” pujuk Khairul.
“Abang tipu, abang memang dah tak
sayangkan Mai” lantang Maizatul bersuara.
“Abang sayangkan Mai, jomlah balik,
abang rindu sangat” bola mata Khairul tepat memandang Maizatul.
Hati
perempuan memang mudah cair apabila melihat lelaki begitu ikhlas menangis di
hadapannya. Maizatul mempercayai kata-kata Khairul sehingga dia termakan dengan
pujukan Khairul. Maizatul membuka jeriji pintu dan membenarkan Khairul masuk ke
dalam rumah. Khairul memeluk Maizatul. Air mata Maizatul membasahi baju
Khairul. Setelah itu, Khairul bertemu ibu untuk meminta izin membawa pulang
Maizatul. Ibu membenarkannya. Memandangkan ketika itu bapa tiada di rumah,
Khairul terselamat daripada disoal lagi.
Masuk
sahaja ke dalam rumah. Khairul menolak Maizatul sehingga Maizatul terduduk di
atas sofa.
“Kenapa dengan abang ni?” marah
Maizatul.
“Kau ingat aku dah berubah, sorrylah
aku makin meluat tengok muka kau!” bidas Khairul.
“Apa salah Mai sampai abang nak
marah-marah Mai” Maizatul berdiri mempertahankan dirinya.
“Kau kata apa salah kau, yang kau
bagitahu ibu dan bapa tu apa bendanya, kau tahu tak aku malu”
“Abang sepatutnya malu dengan Allah,
abang dah buat maksiat dekat kelab malam tu”
“Kau jangan masuk campur urusan aku,
suka hati akulah nak pergi mana ke, dengan siapa ke, kau tak perlu tahu”
“Kalau macam nilah perangai abang,
lebih baik Mai keluar!” kata Maizatul menuju ke pintu.
“Maizatul, aku tak izinkan kau
keluar!” Khairul memberi amaran.
Maizatul
akur dengan kata-kata suaminya. Langkahnya terhenti seketika. Dia memandang
wajah Khairul meminta belas kasihan. Namun, Khairul menjelingkan mata dengan
riak wajahnya yang masih tidak berubah, lalu Khairul pergi ke tingkat atas
meninggalkan Maizatul sendirian di ruang tamu.
“Ya
Allah, jika ini jalannya untuk aku menggapai redhaMu, aku pasrah ya Rahim, Ya
Allah, lembutkanlah hatinya, berikanlah dia hidayahMu,Ya Rahman, jadikanlah
kami dari kalangan orang yang soleh dan solehah” doa Maizatul sehingga mengalir
air matanya.
***
“Astaghfirullah, abang tak tahu macam mana
boleh jadi begini. Abang terlalu ikutkan nafsu sehingga isteri abang pun abang
anggap macam orang asing dekat rumah”
“Biarlah kenangan pahit itu berlalu, sayang
tak nak ingat balik, sangat pahit untuk dikenang”
“Abang pun tak nak lagi terjerumus dengan
kancah kemaksiatan”
“Abang masih ingat lagi bila kita jumpa
seorang mak cik dekat taman ni?”
“Haa, Makcik Yam, mestilah abang ingat,
dialah yang bantu kita nak dapatkan Shafiqah.”
“Makcik Yam yang beri jalan penyelesaian
dengan pergi berurut dengannya. Alhamdulillah lepas beberapa kali berurut,
sayang dapat hamil sehingga kandungan membesar menjadi seorang bayi yang
sempurna”
“Secantik sayang, secomel abang” jelas
Khairul.
“Ada-ada je abang ni” serentak Maizatul dan
Khairul melepaskan tawa.
“Sayang, terima kasih menjadi pelengkap dalam
hidup abang, memberikan abang hadiah yang tidak ternilai harganya, tidak boleh
dibeli di mana-mana” kata Khairul sambil tangannya mengusap pipi Maizatul yang
mulus setelah tawa mereka berhenti.
“Alhamdulillah doa sayang selama ini
dimakbulkan Allah. Sayang dapat Shafiqah dan abang pula dah kembali ke pangkal
jalan”
Mereka tersenyum sesama sendiri sambil mencium pipi
Shafiqah yang gebu. Shafiqah menangis kerana diusik. Tangisannya tanda syukur
kepada Sang Rabbi.
cerita yang menarik. suka gaya dialog nabihah. ayat "abang sepatutnya malu pd Allah" mmg menusuk kalbu. truskan menulis!!
ReplyDeletethanks wawa, sorry lambat balas
Delete