Nota: Karya yang berjaya dicetak dalam bentuk majalah. Merupakan satu cerpen daripada senarai post bulan Mei tahun lalu yang berjaya dihasilkan. Jadi hari ini, saya ingin kongsikan bersama semua pembaca karya yang telah memberikan saya semangat untuk terus berkarya.
Cerpen: Episod hitam diari hidupku
Oleh: Nabihah Taquddin
Malam
yang diterangi cahaya bulan purnama nan indah tidak menggambarkan hatiku saat
ini yang begitu gelisah. Aku sudah membohongi diriku sendiri dan waliku. Kataku
pada waliku, aku mahu menemani Amanda untuk makan malam. Memang benar aku hanya
menemani kawan kolej sebilikku namun disebaliknya, masih ada lagi informasi
yang aku sembunyikan daripada pengetahuan waliku. Aku menemani Amanda yang
ingin makan bersama kawan lelakinya. Sedangkan aku tahu waliku pasti tidak
mengizinkan aku untuk keluar. Lebih-lebih lagi, waktu sudah melepasi jam sepuluh
malam. Ketika itu, fikiranku hanya untuk menghilangkan tekanan setelah
menghadapi peperiksaan kedua untuk semester satu di sebuah universiti terkemuka.
Sebuah
kereta yang dilengkapi lampu HID tiba di kawasan parkir kolej menyilaukan
mataku. Amanda masuk dahulu ke dalam kereta untuk menyapa kawannya seterusnya
memanggil aku pula untuk masuk ke dalam kereta. Aku masuk ke dalam kereta yang
tidak jelas warnanya kerana tiada lampu jalan terpasang. Aku melangkahkan kaki
untuk masuk kedalam kereta sambil hatiku kuserah kepada Maha Esa. Hatiku
semakin gelisah tatkala dua orang lelaki di kerusi hadapan memandangku. Jantungku berdegup pantas mengenangkan nasib yang akan
terjadi kepada diriku malam ini. Aku duduk diam di kerusi bahagian belakang
bersama Amanda. Melalui perbualan antara Amanda dan seorang lelaki yang berada
di bahagian kerusi pemandu, sudah aku tahu hubungan mereka yang baru sahaja
menjadi pasangan kekasih. Mereka masih tiada ikatan yang sah namun sudah berani
untuk keluar malam tanpa mahram yang jelas. Aku juga turut menanggung dosa yang
mereka lakukan. Ya Allah, betulkah tindakan hambaMu ini?
Sekembali aku dari keluar malam bersama Amanda, aku
tidak dapat melelapkan mata. Peristiwa tadi berlegar-legar di minda sedarku.
Aku tahu aku juga berdosa kerana tidak menegakkan amal makruf nahi mungkar. Aku
tidak menghalang mereka malah aku menggalakkan mereka untuk berbuat maksiat dengan
menemani mereka keluar di waktu malam. Ya Allah, ampunkan dosaku. Aku juga
berdosa dengan ibu bapaku. Malam berlalu seiring bumi berputar di paksinya namun
mataku masih tidak dapat dipejamkan. Hati ini tidak mampu menanggung beratnya
dosaku kepada Maha Pencipta. Lantas, di keheningan malam yang ditemani
bintang-bintang di langit, aku bangun daripada terus merehatkan diriku di atas
katil. Aku tidak layak untuk terus baring di atas katil itu! Siapa aku, hamba
yang hina ini untuk terus bersenang lenang di atas katil yang sungguh empuk itu?,
bentak hati kecilku. Aku terus mengambil wuduk dan beristighfar dalam untaian
tasbih memohon keampunan kepada Sang Robbi. Firman Allah dalam surah Al-Baqarah
ayat 222 yang bermaksud ‘Sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang
yang bertaubat, dan mengasihi orang-orang yang sentiasa mensucikan diri’.
Kini,
pagi yang menjelma. Sudah lepas episod gelap dalam hidupku. Namun, aku masih
berasa bersalah terhadap kedua ibu bapaku. Aku tidak sanggup merahsiakan hal
ini daripada pengetahuan insan yang telah melahirkan dan menjaga aku sehingga
aku pandai berdikari. Aku juga tidak mahu mereka mengetahui peristiwa semalam
daripada mulut orang lain. Ketika itu, pasti lebih terluka hati mereka. Aku
keluar dari bilik kolej untuk ke taman rekreasi. Aku melangkahkan kakiku perlahan-lahan
sambil memikirkan reaksi ibu bapaku apabila mengetahui anak mereka keluar malam
bersama lelaki ajnabi. Aku tersedar betapa bersyukurnya aku dilahirkan dalam
keluarga yang cukup menitikberatkan adab Islamiah. Aku sudah terdidik untuk
sentiasa meminta izin sebelum keluar rumah walaupun ibu bapaku berada jauh di
kampung. Tetapi malam itu, nafsu sudah menguasai diriku sehingga aku sanggup
menzalimi diriku. Apabila tiba di sebuah bangku di tepi kawasan pejalan kaki,
aku mengambil posisi duduk. Telefon bimbit di poket seluar trek kuambil. Aku
melihat gambar ibu dan bapa aku yang ada di skrin telefon. Aku mengenang
kembali jasa-jasa mereka terhadapku. Tidak terbalas lagi jasa-jasa mereka
olehku namun aku sudah menambah lagi duka di hati mereka yang mungkin lebih
sakit daripada duka-duka yang pernah aku hiriskan di hati mereka. Mengapa aku
begitu kejam? Kenapa aku mengambil jalan ini? Tidak bolehkah aku berfikir dua
kali sebelum mengambil keputusan ini? Bertubi-tubi soalan menghimpit perasaanku.
Aku mengumpul kekuatan untuk memberitahu ibu bapaku di telefon. Air mata yang
mengalir semenjak tadi aku lap dengan lengan bajuku.
“Assalamualaikum ibu…” kataku
setelah panggilan telefon diangkat ibu.
“Wa’alaikumussalam Laila” Hatiku
terus sebak mendengar suara ibu yang sungguh tabah menjaga aku selama ini.
“Kenapa ni? Laila baik-baik saja
kan” kata ibu dengan nada kerisauan tatkala aku tidak bersuara namun hanya menemaninya
dengan tangisan.
“Ibu… Laila dah buat dosa dekat ibu dan bapa…” luahku
dengan tersekat-sekat diselangi tangisan. Ibu setia mendengar keluhan hatiku.
Kedengaran suara bapa di sebelah ibu memberi nasihat terhadapku.
Ada satu mesej yang aku dapat daripada bapaku.
Sungguh, ketika itu aku sedar, sebanyak mana kesalahan seorang anak, ibu bapa
tetap menerima kekurangan anak mereka kerana anak adalah saham di akhirat bagi
ibu bapa.
“Bapa tak marah dah, dulu pun ramai kawan bapa yang
terjebak dengan cinta waktu belajar. Banyak yang kena keluar kolej sebab tak
skor dalam peperiksaan. Ini semua kerja syaitan. Inilah permulaan hidup
sendiri. Banyak lagi ujian yang perlu ditempuhi. Selagi kita berpegang pada
tali Allah, selagi itu Allah akan bantu kita. In shaa Allah.”
Aku bersyukur ibu dan bapaku memaafkan aku. Mulai hari
ini, aku akan lebih berhati-hati daripada terjerumus dengan tipu daya syaitan
dan menguatkan keimananku seiring berputarnya waktu sehingga akhir hayatku.
Dengan kehadiran sahabat-sahabat yang ingin bersama-sama menjadi baik, hati ini
lebih kuat untuk terus beristiqamah mentaati perintahNya dan menjauhi
laranganNya. In shaa Allah.
0 comments:
Post a Comment
Komen daripada pembaca amat dialukan-alukan.
Sebutir kata yang dihasilkan boleh mengubah seseorang kepada yang lebih baik.