Novel : Sungguh, Tulus Menyayangimu
oleh : Nabihah Taquddin
Bab 7
Sudah
tiga hari Syamira dalam keadaan koma. Hati Nura Afyna masih sayu. Setiap hari
dia minta kebenaran daripada suaminya untuk menjenguk adiknya. Suaminya
sentiasa menemaninya saat melawat adik iparnya di HPBI. Bila masuk hari keempat
Syamira berada di hospital, jari-jarinya mula bergerak perlahan-lahan. Puan
Mahirah yang melihat keadaan itu terus memanggil doktor. Dia menelefon
menantunya supaya datang ke HPBI dengan segera. Doktor melihat keadaan Syamira
dan seterusnya memerhatikan matanya pula. Setelah beberapa minit berlalu, Syamira
mula menunjukkan refleksi yang positif. Matanya perlahan-lahan dibukanya. Di
saat itu, Nura Afyna sampai ke bilik Syamira ditempatkan.
“Adik, ni kakak, sedarlah adik” Nura Afyna mengejutkan
adiknya.
Akhirnya
Syamira tersedar dari koma. Semua yang melihatnya menyatakan rasa syukur.
“Alhamdulillah Mira dah sembuh. Mira ingat mak tak?”
emak membuka bicara.
“Mak? Kenapa dengan tangan saya” Syamira membalas.
Puan
Mahirah yang mendengarnya pun sedih. Anak yang dikandungnya sembilan bulan
tidak mengingatinya.
“Doktor, macam mana dengan anak saya ni?” soal Puan
Mahirah kepada Dr. Azri.
“Saya harap puan bersabar. Mungkin dia koma sudah
tiga hari. Puan perlu memberikan ruang dan waktu untuknya mengingati semua yang
telah terjadi”
Encik
Fadhli mengusap kepala Syamira sambil membaca ayat-ayat suci al-Quran. Mereka
pulang ke rumah setelah segalanya siap dikemas. Syamira yang masih dalam
keadaan separuh sedar hanya mampu duduk di kerusi roda milik hospital untuk
membawanya masuk ke dalam kereta. Mereka semua berkumpul di rumah Encik Fadhli.
Zafrin yang menerima panggilan telefon daripada Encik Fadhli turut ke rumah
mereka. Semuanya salah Zafrin sehingga Syamira menjadi koma.
“Mira, saya minta maaf atas apa yang terjadi,
sayalah yang telah melanggar awak ketika awak bermain basikal” Syamira yang
mendengar hanya mampu mengangguk-angguk kepala.
“Saya ma..afkan a..wak, tapi sa..ya tak ingat apa-apa
yang telah terjadi kepada saya” Syamira membalas.
Ya
Allah, apa dosaku sehingga menyebabkan dia lupa. Dia terlalu baik sehingga
dapat memaafkan aku yang sangat kejam terhadapnya, bisik hati Zafrin. Semuanya
berbicara dengan Syamira dan berharap dia akan sembuh sepenuhnya.
“Mira, kakak buatkan minuman coklat yang Mira suka,
minumlah”
“Terima kasih kakak”
“Adik, cuba adik tengok gambar ni” Nura Afyna
menunjukkan sebuah album percutian tahun lalu. Syamira hanya mampu tersenyum,
dia begitu ceria di dalam gambar itu. Tapi, apabila ditanya sama ada ingat atau
tidak, hanya gelengan kepala menjadi jawapannya.
Di
dalam bilik, Nura Afyna mengadu kepada suaminya terhadap kesedihannya. Ahmad Ilman
yang mendengarnya sangat tersentuh dengan kata-kata isterinya.
“Sayang, kita kena banyak bersabar dan berdoa moga
suatu hari nanti Mira akan sembuh” Ahmad Ilman cuba memujuk isterinya supaya
tak terlalu sedih.
“Tapi Fyna takut Abang Man, Fyna takut dia tak kenal
lagi kita, tak ingat semua memori waktu Fyna dan dia bersama-sama dulu” dia
cuba menghilangkan rasa takut yang sentiasa berlegar di fikirannya.
“Sayang, sebenarnya semua ini kehendak Allah, kita
sebagai hambaNya harus kuat menghadapinya, abang akan tetap di sisi sayang
mengharungi semua ini” Ahmad Ilman menenangkan hati isterinya.
Dia
berasa sungguh sedih. Belum selesai lagi sedihnya kerana ada orang yang ingin
menghancurkan hidupnya bersama suaminya, kini datang lagi kesedihan. Walaupun
pada mulanya malu untuk berkongsi masalah dengan suaminya, tapi dia tak mampu
berbuat apa-apa, tiba sahaja di rumah pasti suaminya ada di sebelahnya.
Alang-alang suami sudah ada sisi, luah jugalah perasaan ni. Lama-kelamaan Ahmad
Ilman boleh memahami diri isterinya
Hari
ini, Ahmad Ilman mula bekerja setelah seminggu bercuti kerana melangsungkan
perkahwinannya. Nura Afyna tinggal seorang diri di dalam rumah. Sesekali dia ke
rumah mak dan ayahnya untuk melihat keadaan adiknya. Syamira sudah mula ingat
mak, ayah dan dia sendiri tapi mengenai Ahmad Ilman, dia belum pastikan lagi.
Sebetulnya Syamira tidak mampu mengingati segala-galanya setelah kemalangan
itu. Zafrin sering ke rumah Syamira untuk melihat perkembangannya.
Lama-kelamaan, Zafrin dan Syamira sudah macam adik dan abang.
“Man, apa khabar, seronok cuti?” sapa Zulfahmi.
“Eh kau ni, of course la, orang dah kahwin, kau
macam mana pula?” Ahmad Ilman membalas kata-kata Zulfahmi sambil berjabat
tangan dengannya.
“Aku macam ni je lah, masih single, haha” Zulfahmi
membalas.
Ramai
kawan-kawannya mengucapkan tahniah kepadanya. Segalanya disahutnya dengan kata-kata
terima kasih sehingga ada seseorang berkata kepadanya dengan kata yang lain
daripada yang lain.
“Hai Ilman, ingat I lagi tak?” suara perempuan yang
berkaca mata hitam dan berpakaian agak seksi menyapanya.
“Maafkan saya, tapi cik, saya tak kenal cik. Cik ni
siapa ye?” Ahmad Ilman menjawab pertanyaan itu.
“You memang tak sayangkan I, dan sekarang you
tinggalkan I, kahwin dengan orang lain!” jerit perempuan itu.
Ahmad
Ilman lantas bangun dan tangannya cuba untuk membuka cermin mata hitam yang
dipakai oleh perempuan itu perlahan-lahan. Setelah dibuka, dia begitu terkejut.
Matanya terbeliak dan mata perempuan itu mengingatkan dia kepada suatu
peristiwa ketika dia masih bersekolah.
“Hai awak, beli barang ke?” kata Ahmad Ilman kepada
Sarah yang sedang memilih ubat gigi di Pasaraya Mydin.
“Mestilah saya tengah beli barang” Sarah pun
menjawab dengan terujanya. Sesungguhnya lelaki itu telah membuat dia jatuh
cinta.
“Saya pun beli barang” balas Ahmad Ilman sambil
mengenitkan mata.
Mereka
ingin memilih ubat gigi Colgate. Serentak itu, mereka memegang kotak ubat gigi
yang sama. Mereka pun sama-sama berpandangan.
“Awak ambil lah yang ini, saya ambil yang lain”
Ahmad Ilman mengalah setelah berebut-rebut ubat gigi itu.
“Terima kasih” Sarah memberi reaksi.
Mereka
mula berkenalan dan berjalan beriringan mencari barang yang ingin dibeli.
Ketika itu, Ahmad Ilman berusia 17 tahun dan di fikirannya tidak pernah untuk
serius dalam sesuatu perhubungan, yang difikirnya hanyalah untuk bersuka-ria.
Namun, di hati Sarah, perkara itu sesuatu yang serius dan dia mula ingin rapat
dengan Ahmad Ilman. Wajah Ahamd Ilman yang tampan dan ketinggian yang ideal
dengan berat badannya menyebabkan ramai perempuan yang mengenalinya pasti
terpaut padanya. Sememangnya Ahmad Ilman pelajar yang nakal ketika berada di
sekolahnya. Ramai pelajar perempuan memintanya menjadi abang angkat. Sikapnya
yang mudah mesra pastinya menghiburkan wanita yang tiada rasa malu. Segalanya
tidak ditolak. Walaupun sudah ada adik angkat, dia tak pernah tolak untuk
menerima ajakan untuk menjadi abang angkat yang kedua, ketiga dan yang keberapa
kali pun dia dah tak ingat. Tapi peristiwa hitam yang menimpanya saat-saat
akhir sebelum dia menduduki peperiksaan awam SPM telah menyedarkan dia. Emak
yang disayanginya dan disanjung selama ini telah meninggal dunia akibat
penyakit kencing manis. Jadilah dia piatu yang tidak punya emak lagi. Kehilangan
seorang emak amat dirasainya. Bapanya sentiasa menasihatinya dan mengajarnya
erti kehidupan yang sebenar.
“Setiap yang hidup pasti
akan mati, begitu jugalah dengan kita. Bapa harap kamu kuatkan semangat kamu
tu, SPM tak lama lagi, kau belajarlah rajin-rajin dan jadilah anak yang soleh
yang sentiasa mendoakan ibu bapanya, ibu kamu pasti akan gembira bila kamu
berjaya nanti” kata-kata bapanya tak pernah dilupanya.
Setelah
peristiwa itu, dia belajar bersungguh-sungguh untuk mencapai cita-citanya.
Perempuan-perempuan yang berada disekeliling pinggangnya dibuangnya jauh-jauh
termasuklah Sarah.
Ingatannya
terhadap peristiwa itu dikenangnya semula. Ahmad Ilman baru teringat dan dia
tidak menyangka Sarah masih menaruh harapan kepadanya. Apa yang merunsingkan
hatinya, keluarganya baru dilanda masalah dan tambah pula dengan masalah ini.
Dia perlu meleraikan masalah ini secepat mungkin. Walaupun Sarah menangis air
mata darah sekalipun, dia tidak akan sesekali menduakan kasihnya terhadap Nura
Afyna, isterinya yang dikasihi. Dia hanya mencintai Nura Afyna seorang dan
kasihnya hanya untuk Nura Afyna dari awal perkahwinan hingga akhir hayatnya.
“Awak Sarah kan?” Ahmad Ilman cuba menduga perempuan
itu.
“Memang sayalah Sarah yang awak gila-gilakan dulu”
Sarah cuba membangkitkan isu lama.
“Jadi apa yang awak nak sebenarnya?
Maaflah saya dah kahwin”
“Saya nak awak ambil saya sebagai isteri awak” Sarah
menjawab.
“Sarah, please
saya tak cintakan awak. Biarlah
kisah lama menjadi sejarah dan awak mulakanlah hidup baru. Saya dan awak dah
tak ada apa-apa hubungan”
“Awak ingat semudah itu untuk saya melupakan awak
dan kisah-kisah lama kita” Sarah cuba mempertahankan dirinya.
Ahmad
Ilman seterusnya memulangkan cermin mata milik Sarah dan menyuruhnya untuk
pergi jauh dari hidupnya. Sarah mula terasa dikhianati dan memberikan amaran
kepada Ahmad Ilman. Ahmad Ilman hanya berlagak seperti tidak terjadi apa-apa
antara mereka.
“Ilman, kau okey ke? tanya Zulfahmi
apabila mendengar herdikan kawannya dari mejanya.
“Aku okey, sorrylah sebab ganggu kau
”
“Tadi perempuan tu..ada hubungan apa
dengan kau, dahsyatlah kau ni, dia yang Miss Universe tu kan?”
“Aku tak kenal pun dia, dia yang
tiba-tiba cari aku. Apa, Miss Universe?”
Sehari
suntuk Ahamd Ilman memikirkan Sarah. Apa yang akan Sarah lakukan terhadap
keluargaku terutama isteriku? Adakah Sarah ada kena mengena dengan hadiah misteri
yang tiada nama itu? Tapi macam mana dia boleh jumpa aku, tahu alamat rumah,
tahu alamat pejabat?, bisik hatinya. Pada waktu malam, Ahmad Ilman tak dapat
tidur nyenyak. Bila matanya ditutup, pasti wajah Sarah yang kelihatan. Dia
perlu menghakis semua ini. Dia sudah bergelar suami. Sesekali dilihatnya Nura
Afyna yang sedang tidur nyenyak di sebelahnya.Wajah Nura Afyna yang begitu
tenang meghadapi dugaan hidup memberikan dia semangat untuk mempertahankan
rumah tangganya. Tenang hatinya memerhatikan setiap bahagian di wajah
isterinya. Matanya yang layu dek kerana berpisah dengan mak dan ayah, mulutnya
merah, pipinya yang mulus dan hidungnya yang mancung. Sesekali dia terbayang,
bagaimana agaknya Nura Afyna apabila menjadi seorang ibu. Dia panjatkan kesyukuran
kepada Illahi kerana dapat berumah tangga dengan insan yang dicintainya. Rambut
Nura Afyna diusapnya lembut ke belakang. Pinggang isterinya pula dipegang dan
dirangkul olehnya. Ketenangan dirasai Ahmad Ilman. Akhirnya dia dapat
memejamkan mata.
Azan
Subuh berkumandang. Nura Afyna terjaga dari tidur. Dia lantas bangun untuk
menunaikan solat subuh. Ketika dia membuka mata, suaminya tiada di sebelahnya.
Mungkin tidur di atas sofa, bisik hatinya. Dia segera mencari suaminya di ruang
tamu tapi tidak ditemuinya. Apabila dibuka pintu di bilik sebelah, dia melihat suaminya
sedang mengerjakan solat. Sungguh khusyuk suaminya berdoa sehingga dapat
didengari bait-bait doa seorang hamba kepada Tuhannya.
“Ya Allah, seandainya telah engkau catatkan, dia
milikku tercipta buatku, satukanlah hatinya dengan hatiku, titipkanlah
kebahagiaan antara kami, agar kemesraan itu kekal abadi… Ya Allah, hanya
kepadaMu aku meminta pertolongan dan aku berserah.Aamiin” Nura Afyna yang
mendengar rintihan suaminya sebagai seorang hamba yang lemah menyentuh
kalbunya.
Suaminya
yang mencintainya begitu bersungguh-sungguh dalam membina mahligai rumah tangga
bersamanya. Tetapi dirinya pula masih terfikir-fikir sama ada Ahmad Ilman
temannya yang terbaik atau tidak. Setelah
itu, dia segera menutup pintu bilik dan ke tandas untuk bersuci.
Setelah
menunaikan solat Subuh, dia ke dapur untuk menyiapkan sarapan sebelum suaminya
pergi kerja. Dia tidak mahir untuk masak makanan berat lantas membancuh milo
dan menyapu jem strawberi di atas sekeping roti. Ahmad Ilman pula sedang fokus memakai
tali leher di hadapan cermin empat segi tepat besar yang berada di laluan untuk
ke dapur. Nura Afyna hanya memandangnya dari jauh. Dia terfikir juga nak
pakaikan tali leher di baju sang suami seperti cerita-cerita romantik di
televisyen tapi dia tak ada kemahiran. Namun, dia bernekad untuk pakaikan tali
leher di kolar baju suaminya suatu hari nanti. Seronok ke pakaikan tie dekat
lelaki ni?, fikirnya dalam hati.
“Hai permaisuriku! Apa yang sayang termenungkan ni?”
sergah Ahmad Ilman apabila melihat isterinya tersengih-sengih seorang diri.
“Eh Abang Man, mana ada apa-apa. Abang Man ni yang
lambat siap, tengok milo dah sejuk” gumam Nura Afyna apabila merasakan Milo
yang dibancuhnya tadi sudah tidak panas.
“Salahkan abang pula, sayang yang awal sangat
siapkan untuk abang” kata Ahmad Ilman sambil mengenitkan matanya ke arah
isterinya.
Isterinya
tersipu malu dan tertunduk. Dia mendekati isterinya yang berada bersebelahan
meja makan dan berbisik di telinga isterinya.
“Terima kasih sayang” sambil mencium pipi Fyna.
0 comments:
Post a Comment
Komen daripada pembaca amat dialukan-alukan.
Sebutir kata yang dihasilkan boleh mengubah seseorang kepada yang lebih baik.