Wednesday, May 25, 2016

Novel Sungguh, Tulus Menyayangimu 28





















Novel: Sungguh, Tulus Menyayangimu
oleh: Nabihah Taquddin


Bab 28

Nura Afyna duduk termenung melihat jendela di sebelah katilnya. Hujan yang renyai-renyai di luar menyingkap kembali kenangan indah ketika cuti semester. Kenangan yang sudah dua minggu berlalu itu tak mungkin dia lupakan. Terserlah sifat suaminya yang penyayang dan mengambil berat tentangnya.
            Syamira cuba menelefon kakaknya untuk berbaik semula dengan kakaknya. Nura Afyna tidak boleh menerima perbuatan adiknya. Baginya, orang yang mencuba merampas mahupun memfitnah suaminya tetap musuh ketat baginya. Banyak cara yang digunakan oleh Syamira untuk mengambil hati kakaknya semula.
            “Kak Fi, masih ingat tak bila kita bergaduh sebab nak tengok tv, waktu tu kita tak nak mengalah, sampailah tv tu meletup, sebabnya asyik tukar siaran kakak dan Mira. Mak waktu tu marah betul dekat kita. Samalah dengan keadaan sekarang, Mira mengalah sekarang. Janganlah buat macam ni, tv rosak tak apa kak tapi kalau hubungan kita rosak…, kak Fi seorang yang Mira ada, kita mana ada adik-beradik lain, Mira sunyi kak, tolonglah maafkan Mira” Syamira mengirim mesej video kepada kakaknya. Nura Afyna mendengarnya sehingga berderai air matanya. Tapi, dia tetap tak dapat menerima perbuatan adiknya. 
            Ahmad Ilman tidak dapat menyembunyikan rahsia yang dia simpan selama ini kepada isterinya. Lambat-laun isterinya pasti mengetahuinya juga. Dia tidak mahu Nura Afyna mengetahui soal Sarah daripada mulut orang lain. Dia mesti menamatkan rasa kurang selesanya dengan keadaannya sekarang. Dia takut Nura Afyna akan melihatnya dengan Sarah sedangkan dia tiada apa-apa perasaan terhadap Sarah.
            “Kita nak pergi mana?” tanya Nura Afyna dengan lembut dalam talian.
            “Tempat yang special, sayang mesti suka” kata Ahmad Ilman dengan bersemangat.
            “Betul ni? Kalau tak macam mana?” duga Nura Afyna.
            “Abang yakin sayang mesti suka! Pergi kemas baju nanti hari Jumaat petang abang datang ambil sayang”
            Nura Afyna begitu terharu. Lagi beberapa hari merupakan Hari Malaysia. Kebetulan Hari Malaysia jatuh pada hari Ahad, jadi hari Isnin menjadi cuti umum. Tiga hari aku dapat bersama abang, seronoknya, kata hatinya.
            “Emak, hujung minggu ni, Man nak bawa Fyna keluar, mak tak kisah ke?” Ahmad Ilman meminta kebenaran daripada emak mentuanya sambil duduk di atas kerusi makan.
            “Apa pula tak boleh, kamukan suami dia” Puan Mahirah berhenti daripada terus memotong sayur di dapur dan memandang menantunya yang berada di sebelahnya.
            “Bukan apa mak, manalah tahu kalau mak ada rancangan lain”
            “Tak adalah, mak dan ayah tak ada apa-apa rancangan hujung minggu ni, lagipun ayah kamu kena pergi stadium kan, Hari Malaysia nanti. Nanti bercuti, jaga Fyna baik-baik ye”
            “In shaa Allah, mak jangan risau”
            Ahmad Ilman ingin membawa Nura Afyna berbulan madu untuk pertama kalinya. Semenjak mereka bernikah, banyak kejadian pahit berlaku dalam rumahtangga mereka. Ahmad Ilman yakin inilah masa yang sesuai untuk mereka berbulan madu dan menghilangkan segala memori pahit yang pernah dilalui oleh mereka. Abang akan gantikan semula masa sulit pada awal perkahwinan kita dengan perkara yang lebih manis sayang, nekad Ahmad Ilman di dalam hati.
            Pagi Jumaat menjelma lagi. Pada waktu Zohor, seluruh umat Islam menunaikan solat Jumaat yang menjadi kewajiban setiap muslim lelaki dan sunat bagi perempuan. Ahmad Ilman menelefon isterinya sebelum pergi ke masjid untuk menunaikan solat Jumaat. Dia bekerja separuh hari sahaja. Setelah memasukkan baju ke dalam sebuah beg galas, dia memulakan perjalanan ke universiti isterinya belajar. Cuaca yang baik dengan keadaan jalan raya yang tidak terlalu sesak memudahkan perjalanannya ke sana.
            “Assalamualaikum sayang, abang dah sampai, turun sekarang” Ahmad Ilman menelefon Nura Afyna apabila sudah berada di hadapan kolej.
            “Okey abang, tunggu sekejap” jawab Nura Afyna. Nura Afyna turun bersama beg baju dan beg tangannya. Dia berlari menuju ke arah kereta dan terus masuk ke dalam kereta. Dia meletakkan beg di bahagian kerusi belakang dan mencium tangan suaminya.
            “Nak ke mana ni abang?” tanya Nura Afyna setelah kereta mereka sudah keluar dari kawasan kolej.
            “Kita nak pergi honeymoon!” jawab Ahmad Ilman setelah senyap beberapa saat.
            “Betul ke ni? Sayang abang, Fyna suka sangat” kata Nura Afyna sambil memegang lengan suaminya.
            “Kan abang dah cakap, Fyna mesti suka punya” kata Ahmad Ilman sambil melihat isteri sekejap dan sambung melihat ke hadapan.
            “Tapi kat mana ye?” serius Nura Afyna bertanya kepada suaminya.
            “C.A.M.E.R.O” Ahmad Ilman mengeja perkataan dengan perlahan-lahan.
            “Cameron Highland!” pantas Nura Afyna meneka.
            “Betul, abang kan dah janji nak bawa sayang ke sana, abang dah tempah bilik di Heritage Hotel dekat Tanah Rata”
            “Seronoknya, sayang teringin sangat tidur dekat tempat yang sejuk, dah lama tak pergi sana”
            “Sayang okey tak kalau ikut jalan yang bengkang-bengkok?”
            “Okey je, takut ya kalau sayang muntah. Kalau sayang muntah, abang kan ada” Nura Afyna tergelak kecil.
            “Oh suka ya kenakan abang, kalau boleh janganlah muntah, ni kan first honeymoon kita”
            “In shaa Allah, tapi abang janganlah bawa laju-laju, nanti sayang pening”
            “No problem”
            Buka sahaja mata, Nura Afyna sudah berada di tempat parkir Hotel Heritage. Lena betul Nura Afyna tidur sehingga tidak sedar sudah sampai di Tanah Tinggi Cameron. Dia melihat tempat duduk pemandu tetapi suaminya tiada. Dia menutup enjin kereta dan keluar daripada kereta.
            “Sejuknya” katanya sambil menggeliat.
            “Lena ya tidur tadi” tegur suaminya dari arah belakangnya. Kunci bilik hotel sudah berada di tangan Ahmad Ilman.
            “Fyna tidur sebab takut pening, jom kita ambil gambar dekat situ, cantik pemandangan dekat sini” Nura Afyna memberi alasan.
            Mereka mengambil gambar yang berlatar belakang gunung-ganang. Cuaca yang sejuk menyebabkan gunung-ganang dilitupi kabus. Mereka memegang kamera bersama-sama sambil diangkatkan sedikit ke udara. Nura Afyna senyum sehingga terlihat gigi arnabnya manakala Ahmad Ilman hanya senyum biasa. Kemudian mereka mengambil gambar bersendirian dan meminta orang sekeliling untuk mengambil gambar mereka berdua saling berpandangan serta senyum sesama sandiri.
            “Kita rehat dulu dalam bilik, malam ni kita keluar cari makanan”
            “Baik abang”
            Suasana pada waktu malam lebih sejuk berbanding waktu siang. Walaupun tidak ada kipas apalagi pendingin sejuk, sudah memadai pada waktu ini. Itu semua tidak diperlukan. Sejuknya menyamankan dan menyegarkan. Beberapa jam berada di dalam bilik hotel dihabiskan dengan merehatkan diri. Ahmad Ilman berasa letih kerana berjam-jam memandu manakala Nura Afyna letih duduk di dalam kereta agak lama daripada kebiasaannya. Bantal dan selimut menjadi keperluan mereka saat ini. Mereka berbaring di atas katil ‘queen’ yang disediakan. Mereka terus merebahkan diri tanpa membersihkan badan terlebih dulu. Buat apa nak tergesa-gesa, mereka akan menikmati bulan madu mereka dengan penuh kedamaian tanpa ada gangguan daripada sesiapa sahaja.
            “Mana nak cari parking ni? Full la pula” Ahmad Ilman masih mencari tempat memarkir kereta untuk ke gerai makanan yang ada.
            “Dekat situ abang tapi jauh sikit tak apa ke” arah Nura Afyna apabila menjumpai kereta yang mahu keluar daripada tempat parkir kereta. Ahmad Ilman terus menunggu di bahagian sisi belakang kereta sementara menunggu kereta itu keluar.
            Selesai memakir kereta, Ahmad Ilman keluar dahulu sementara menunggu isterinya membetulkan tudung. Ahmad Ilman mengambil payung di tempat duduk belakang. Tiba-tiba, perutnya meragam untuk ke tandas. Dia meninggalkan payung dan menyuruh isterinya membawakan sekali sebelum keluar dari kereta. Nura Afyna hanya mengangguk. Dia berasa takut untuk berseorangan di kawasan parkir kereta yang gelap. Dia terus mengunci pintu dan berjalan menuju ke gerai makanan. Dia duduk di atas kerusi sebuah set meja besi yang berada di bawah bumbung. Ahmad Ilman keluar daripada tandas setelah melepaskan hajatnya. Dia mencari isterinya dan menuju ke arah meja isterinya berada. Bunyi guruh mula berdetum-detam sebaik sahaja mereka memesan makanan.
            “Abang, payung dalam keretalah, macam mana nak balik nanti?”
            “Tak bawa ke tadi, kan abang dah suruh ambil tadi”
            “Sayang lupa, tadi takut duduk sorang-sorang”
            “Nanti abang ambilkan, dahlah jauh kereta kita”
            “Maaf abang”
            Suasana pada waktu malam yang mendung tanpa ditemani bintang di langit membuat hati mereka berdebar-debar menanti hujan yang akan turun tidak lama lagi. Walaupun Ahmad Ilman memarahi isterinya tidak bermakna dia memasam muka kepada isterinya. Dia tetap tersenyum setiap kali isterinya bersembang dengannya semasa makan malam. Makanannya sedap dan harga makanan tidak terlalu mahal dan tidaklah murah, biasa-biasa sahaja harganya. Selesai Ahmad Ilman membayar bil makanan, hujan mulai turun renyai-renyai mengaburkan pandangan mata terhadap sekeliling. Dia pula baru mahu mengambil payung di dalam kereta.
            “Macam mana ni, basahlah baju kita nanti” Nura Afyna memikirkan perkara yang akan terjadi.
            “Abang ada idea, kita ambil surat khabar ni dan tutup kepala kita” kata Ahmad Ilman lalu mengambil surat khabar yang berada di atas meja makan mereka.
            Surat khabar itu saiznya tidaklah sebesar payung. Mereka terpaksa berkongsi surat khabar memandangkan ketebalan surat khabar adalah terbaik apabila bersatu. Ahmad Ilman merapatkan tubuhnya dengan isterinya agar tidak terkena hujan. Nura Afyna memerhatikan suaminya memimpinnya sambil mereka memegang surat khabar di atas kepala. Timbul rasa cinta di hati Nura Afyna seolah-olah baru hari ini dia menemui suaminya. Mereka berlari menuju ke kereta dan apabila sudah sampai di hadapan kereta, kunci kereta terjatuh di atas jalan. Ahmad Ilman cuba mencarinya dengan tangannya meraba-raba jalan raya kerana terlalu gelap. Nura Afyna segera menyuluhkan cahaya ke arah jalan dengan menggunakan cahaya daripada telefonnya. Akhirnya mereka menjumpai kunci kereta dan pulang ke bilik hotel.
            “Cepat basuh kepala tu, nanti demam pula” kata Ahmad Ilman apabila tiba di bilik hotel.
            “Mengantuklah abang, abang pergilah basuh kepala abang dulu, nanti dah siap panggil sayang” kata Nura Afyna yang mengantuk lantas merebahkan tubuhnya di atas katil.
            Usai Ahmad Ilman keluar daripada kamar mandi, isterinya sudah lena di atas katil dengan tudungnya masih di kepala. Dia mengejutkan isterinya namun tidak diendahnya. Jadi, dia hanya membuka tudung isterinya dan diletakkan di atas meja. Baju yang basah sedikit ditukarnya dengan baju lain. Isterinya langsung tidak menyedarkan diri. Dia menunaikan solat jamak takhir magribh dan insyak sebelum tidur. Sebelum menutup mata untuk tidur, dia mengunci jam supaya isterinya bangun sebelum waktu subuh untuk menunaikan solat jamak takhir.
            Nura Afyna terjaga daripada tidur apabila terdengar bunyi nada dering ‘Teman Tidurku’ tanda jam pukul 5.00 pagi. Dia menutup nada dering dan bangun daripada terus terbaring. Kakinya dikeluarkan daripada balutan selimut yang dikongsi bersama suaminya. Dia meregangkan badannya seketika sebelum masuk ke dalam tandas. Dia masuk ke dalam kamar air dan berdiri di hadapan cermin. Dahinya dirasakan sedikit panas. Aku demam ke?, tanya hatinya. Matanya masih kabur kerana keletihan bangun daripada tidur namun setelah melihat baju yang dipakainya saat ini, matanya terus bulat. Abang tukar baju aku?!, desis hatinya. Dia mengintip suaminya dari balik pintu bilik air dan tersenyum sendirian. Baiknya suami aku, nak juga tukarkan baju aku semalam.
            “Ya Allah, kekalkanlah kebahagiaan dalam hidup kami. Ya Allah, aku bahagia dengan hidupku sekarang, janganlah engkau tarik nikmat bahagia ini. Ya Allah, jagalah kami, pimpinlah kami menuju syurgamu, Ya Allah Ya Rahim, aku meminta petunjuk daripadaMu, tunjukkanlah kami jalan mencapai kebahagiaan yang abadi di dunia dan akhirat, kurniakanlah kami zuriat yang soleh dan solehah, Ya Allah Ya Rahman, jadikanlah kami dan zuriat-zuriat kami orang yang menunaikan solat, perkenankanlah doa hambaMu ni” Doa Nura Afyna setelah selesai solat jamak takhir.

Dia mengejutkan suaminya apabila sudah masuk waktu subuh. Suaminya dengan mudah terjaga apabila dia memegang dan mengusap sedikit bahu suaminya. Ahmad Ilman duduk sebentar sebelum memasuki kamar air. Nura Afyna hanya menunggu di hamparan sejadah sambil bermunajat kepada Allah.

0 comments:

Post a Comment

Komen daripada pembaca amat dialukan-alukan.
Sebutir kata yang dihasilkan boleh mengubah seseorang kepada yang lebih baik.

About Me