Novel : Sungguh, Tulus Menyayangimu
oleh : Nabihah Taquddin
Bab 2
Di
rumah pula, emaknya mengajar pelbagai jenis lauk yang mudah dimasak. Kata
orang, nak pikat suami perlu pikat perutnya dahulu. Hampir tergelak Nura Afyna
dibuatnya saat emaknya menerangkan kepadanya. Hampir setiap hari menu baru
dipelajari. Tak cukup dengan itu, dia juga mendalami ilmu agama supaya dia tahu
tanggungjawab sebagai seorang isteri kelak. Dia juga perlu mengkhatam al-Quran
lagi sekali dengan menghadiri kelas mengaji bersama ayahnya setiap malam. Encik
Fadhli ingin sangat Nura Afyna yang akan dilepaskan kepada Ahmad Ilman kelak
dalam keadaan yang cukup agamanya dan tidak sia-sia segala usahanya membesarkan
anak daranya itu. Walau sesibuk mana dirinya di pagi hari, tanggungjawab sebagai
seorang ayah tak pernah diabaikannya. Oleh sebab itu, Nura Afyna yakin pilihan
ayahnya adalah yang terbaik untuknya.
Sebagai
langkah awal dalam membina sebuah perkahwinan, Ahmad Ilman dan Nura Afyna pergi
menghadiri kursus perkahwinan yang diadakan oleh Majlis Agama Daerah. Mereka
didedahkan dengan pelbagai aspek dalam alam rumah tangga. Selama tiga hari
mereka menghadiri kursus itu. Memandangkan Nura Afyna tidak mempunyai kemahiran
memandu kereta atau menunggang motor, Ahmad Ilman yang mengambil dan meghantar
semula dia sebelum jam enam petang. Encik Fadhli tidak mengizinkan mereka
pulang lewat kerana takut menimbulkan fitnah. Setiap kali selesai menghadiri
kursus, Ahmad Ilman membawanya menziarahi tanah perkuburan untuk menjenguk
kubur arwah ibu tunangnya. Sudah enam tahun Ahmad Ilman tidak merasai kasih
sayang seorang ibu. Dia membacakan doa-doa lazim. Hati Nura Afyna tersentuh mendengar
bait-bait doa yang dibaca tunangnya. Sejuk hatinya seketika. Dia bersama-sama menadahkan
tangan dan berdoa pada Illahi moga ibu tunangnya ditempatkan dalam kalangan
orang-orang yang soleh dan solehah.
“Ilman, Fyna ada soalan?” kata Nura Afyna
ketika dalam perjalanan pulang ke rumah.
“Apa dia Fyna, ada masalah ke?”
“Tak. Cuma nak tanya, Ilman sedih
tak bila arwah ibu pergi untuk selama-lamanya”
“Dulu, sayalah yang paling sedih dekat
dunia ni, nak dekat dua minggu saya tak pergi sekolah, mengenangkan pemergian ibu,
tapi sekarang, saya redha dengan pemergiannya” kata Ahmad Ilman dengan nada
sayu.
“Maaf ya sebab dah buat Ilman
terkenang perkara yang sedih”
“It’s okay. Kenapa Fyna tanya ni?”
“Kalau dikira balik, masa arwah ibu Ilman
meninggal dunia, waktu tu Ilman 17 tahun kan, mesti rasa berat sangat untuk
menanggungnya, yalah waktu tu juga kena ambil SPM, tak tahulah macam mana kalau
benda tu terjadi pada Fyna”
“Fyna, jangan cakap macam tu” lembut
tutur katanya lantas menghentikan kereta di tepi jalan.
“Fyna sepatutnya fikir positif, saya
tengok, makcik sihat sahaja setiap kali saya bertemu dengannya” sambungnya.
“Tulah, alhamdulillah mak sihat,
cuma perasaan Fyna ni yang bercampur-baur, lepas ni Ilman jangan sedih lagi ye,
emak Fyna akan jadi emak Ilman juga”
“In shaa Allah” kata Ahmad Ilman sambil
melepaskan brek tangan.
Encik
Fadhli dan Puan Mahirah berbual-bual di halaman rumah ketika mereka tiba di
rumah. Nura Afyna turun dari kereta apabila Ahmad Ilman membuka pintu kereta di
sebelahnya. Ahmad Ilman masih dalam proses memikat hati Nura Afyna. Mana tahu
cinta berbalas cinta. Nura Afyna pula tak sangka hari ini tunangnya akan
membuka pintu untuknya. Sebelum ni dia sendiri yang membuka pintu, tidak pula
tunangnya keluar dari kereta. Kali ini, berbeza pula. Kenapa dengan dia ni? Tiba-tiba
je romantik, ni mesti sebab mak dan ayah ada dekat depan, kata hatinya.
“Assalamualaikum tuan, makcik” kata Ahmad
Ilman sambil melambai-lambai tangannya ketika berdiri di sebelah kereta.
“Waalaikumussalam, tak payah lah
panggil tuan, panggil ayah cukuplah, dan panggil mak, nanti kita jadi keluarga
juga” sahut Encik Fadhli.
“Ya ayah, ya mak”
“Tak masuk dulu ke, kita minum-minum
dulu” tanya Puan Mahirah.
“Tak apalah mak dan ayah, Ilman kena
balik cepat ni”
“Yalah, esok pukul berapa datang?”
“Macam biasa mak”
Ahmad
Ilman memandu kereta menuju rumahnya. Perasaan hatinya kini seperti warna-warna
pelangi yang begitu cantik di langit yang hadir setelah hujan gerimis turun. Sudah
enam tahun dia tidak menyebut perkataan emak. Dia amat rindu akan arwah ibunya.
Bapanya tidak mencari pengganti emaknya walaupun sudah lama menduda. Bapanya
amat menyayangi isteri dan anaknya. Bapanya masih memerlukan masa untuk
menyesuaikan diri tanpa isteri di sisi. Namun, setelah mengetahui anaknya akan
berkahwin dengan Nura Afyna, Encik Hafizuddin akan tinggal keseorangan di
rumah. Hatinya sudah terbuka untuk mencari pengganti isterinya tanpa
pengetahuan Ahmad Ilman. Isterinya kelak bukan sahaja dapat menemani dan
menjaganya tetapi untuk menceriakan hari-harinya yang sudah lama tidak mempunyai
cahaya mata semenjak Ahmad Ilman dilahirkan. Ahmad Ilman merupakan satu-satunya
zuriat yang dia ada bersama isterinya yang tercinta.
Tiba
di rumah, Ahmad Ilman terus berjumpa dengan bapanya. Encik Hafizuddin sedang
leka memasak makanan di dapur. Semenjak ibunya meninggal dunia, bapanya tidak
selera makan makanan yang dibeli di luar. Nasib baik ibunya ada meninggalkan
resipi menu harian di dalam buku diarinya. Jadi bapanya cuba belajar memasak
masakan-masakan yang selalu ibunya masak. Walaupun tidak sama teksturnya, namun
masih ada sedikit rasanya. Hal itulah yang membuatkan bapanya kuat untuk
teruskan kehidupan sehingga menjadi hobinya sudah lima tahun.
“Assalamualaikum bapa, leka nampak”
“Waalaikumussalam, mestilah, bapa
buat apa yang isteri bapa selalu buat”
“Bapa masih sedih dengan pemergian
mak?”
“Ilman, bapa dah letakkan ibu kamu
dalam hati bapa, sampai bila-bila pun wajahnya masih elok terukir dalam hati
bapa”
“Bapa jangan terlalu sedih ya, kalau
bapa ada pengganti, bapa kahwinlah dengan dia, boleh jagakan bapa”
“Ish kamu ni, kamu suka tempat mak
diganti oleh orang lain?”
“Bukan macam tu bapa, tapi kalau ada
mak baru, bolehlah tengok-tengokkan bapa, lagipun Ilman tengok bapa selalu
sendirian bila hujung minggu”
Kuat betul cinta bapa terhadap ibu, akuinya di hati.
Harap aku akan mencintai Fyna sepenuh hati hingga akhir waktu menjemputku,
nekadnya lagi. Keesokan pagi, Ahmad Ilman dan Nura Afyna keluar bersama-sama
untuk menempah pakaian perkahwinan mereka yang akan berlangsung tidak lama lagi.
Memandangkan Nura Afyna amat menyukai warna biru, jadi dia telah memilih warna
biru sebagai warna baju perkahwinan yang akan dia dan tunangnya pakai pada hari
majlis kahwin sebelah perempuan manakala untuk majlis kahwin belah lelaki pula,
Ahmad Ilman memilih warna merah memandangkan warna itu warna kegemarannya. Sesuai
sangat mereka ni. Kata orang warna merah dan biru memang ada keserasian. Tapi
bagi Nura Afyna kalau kita tak cinta tak mungkin akan serasi. Bagi Ahmad Ilman
pula, warna cumalah sebagai pelengkap kehidupan dan tak lebih daripada itu.
Tanpa warna mungkin manusia akan merasai kekurangan. Walauapapun erti warna itu
sebenarnya, asalkan majlis tu berlangsung dengan lancar dan hati masing-masing
puas memakai pakaian yang warnanya menjadi kegemaran mereka.
Ahmad Ilman tidak boleh keluar terlalu lama
meluangkan masa bersama Nura Afyna. Dia perlu bergegas masuk ke pejabat semula.
Nura Afyna menyuruh tunangnya menghantar dia ke Ipoh Parade. Ahmad Ilman
menghantarnya setelah menyuruh Nura Afyna meminta izin daripada ayahnya. Secara
tidak langsung, dia mampu mengajar Nura Afyna menghormati ayahnya apabila
melakukan apa-apa keputusan. Setelah mereka disatukan, Nura Afyna perlu
menghormati suaminya pula seperti menghormati ayahnya sebagai ketua keluarga. Nura
Afyna dihantar di simpang jalan berdekatan Ipoh Parade. Ahmad Ilman
meninggalkan mesej kepada bakal isterinya untuk menjaga diri dan menelefonnya
kembali apabila sudah selesai. Ahmad Ilman menanamkan sikap bertanggungjawab
dalam dirinya. Dia yang membawa keluar tunangnya, jadi dia jugalah yang
menghantar kembali tunangnya ke rumah.
Di rumah, Ahmad Ilman juga bertungkus lumus
mempersiapkan dirinya untuk menjadi seorang suami yang soleh, taat perintah
agama. Hampir setiap waktu solat, dia akan ke masjid setelah berkumandang azan.
Bukan sahaja solat berjemaah di masjid, dia akan meluangkan masa untuk
mendengar ceramah agama yang disampaikan oleh ustaz-ustaz yang hadir. Dalam
proses menjadi suami mithali, amat penting kita mendekatkan diri kepada Sang
Pencipta. Cinta ini hadirnya kerana Allah, dan Allah jualah yang berkuasa
menumbuhkan rasa cinta di dalam jiwa setiap makhluknya. Sememangnya dia akan
menjadi seorang ketua keluarga kelak seperti bapanya dan Encik Fadhli. Segala
permasalahan perlu diselesaikan dengan cara yang baik. Tanpa ilmu dan pemahaman
hukum agama yang betul, agak sukar untuk menerangkan solusi kepada setiap
masalah kepada orang lain terutamanya kepada isterinya kelak.
Setiap minggu dia pasti melawat rumah anak yatim
yang berdekatan rumahnya. Kunjungannya ke sana mampu menenteramkan jiwanya.
Berkongsi kasih dengan anak-anak yatim merupakan perkara wajib baginya semenjak
tiga tahun lalu. Dia bersyukur, walaupun kehilangan seorang ibu ketika
tingkatan lima, dia sempat merasai kasih sayang yang suci itu. Sedangkan anak
yatim yang masih kecil hanya sempat merasai kasih sayang ibunya tanpa mengenal
ibunya. Pilu hatinya melihat mereka bermanja dengan pengasuh mereka seakan-akan
pengasuh itulah ibu dan bapa mereka. Kehadirannya sedikit sebanyak menggembirakan
hati anak-anak yatim. Mereka memanggilnya dengan panggilan Abang Long. Kadang-kadang
apabila dia tidak sempat ke sana, dia akan menelefon mereka bertanya khabar.
<<Bab 1 (pg 2 of 2)
<<Bab 1 (pg 2 of 2)
0 comments:
Post a Comment
Komen daripada pembaca amat dialukan-alukan.
Sebutir kata yang dihasilkan boleh mengubah seseorang kepada yang lebih baik.