Biografi

Nabihah Taquddin merupakan seorang pelajar Bacelor Kejuruteraan Perisian (Software Engineering) di Universiti Putra Malaysia (UPM) dan sekarang berada dalam semester 4 (tahun 2). Sebelum ini turut belajar di UPM sebagai pelajar Asasi atau lebih dikenali sebagai ASPer (Asasi Sains Pertanian). Kini menetap di Serdang, Selangor. Berasal dari Ipoh, Perak. Dilahirkan pada 20 Ogos ketika tahun 1996 dalam keluarga yang cukup bahagia. Anak kedua daripada empat orang adik beradik ini memulakan persekolahan rendahnya di SK Sg. Rapat dari darjah satu sehingga darjah enam. Mendapat 4A1B dalam UPSR membuatkan dia lebih bersemangat untuk mencapai cita-citanya. Ketika berada di bangku sekolah rendah, dia dikenali dengan sifat pendiam dan pemalu. Dia tidak ada kawan yang sangat rapat melainkan sepupunya yang berpindah ke sekolahnya ketika darjah empat. Ketika itu, dia hanya rapat dengan sepupunya dan kawan-kawan sepupunya. Siapa sangka dalam diam dia menyimpan sebuah perasaan terhadap seorang murid lelaki di dalam kelasnya. Mungkin itu suratan takdir yang menyebabkan dia kini lebih berahsia daripada sebelumnya. Banyak kali mendengar ceramah daripada guru-guru ketika perhimpunan rasmi, cinta ketika itu hanya cinta monyet. Namun ditepis jangkaan itu. Di hati dia tetap bertegas ini cinta sejati. Waktu berlalu pantas dan dia kembali ke sekolah baru di alam sekolah menengah di SMK Raja Perempuan. Memandangkan abangnya dan sepupunya tinggal di asrama, dia bernekad tinggal di asrama. Permohonan dibuat dan dia diterima masuk. Menjadi penghuni asrama mengubah cara hidupnya. Dia kini lebih bergaul dengan orang sekeliling. Hidup di asrama mengajarnya erti persahabatan. Persahabatan yang berlaku kerana situasi memerlukan dia melakukan hal sedemikian. Dia berazam menjadi yang terbaik daripada pelajar yang mendapat 5A dalam UPSR. dia memerhati setiap perilaku kawan-kawan di asrama. Ada yang baik dan sebaliknya. Yang baik dijadikan ikutan dan yang sebaliknya dijadikan sempadan. Dia cuba mengikut cara belajar pelajar-pelajar pintar. Dia akhirnya setanding dengan mereka. Sehingga ada yang tidak percaya sebenarnya dia hanya pelajar yang mendapat 4A1B dalam UPSR. Kali pertama berada dalam top 3 ketika di tingkatan satu benar-benar melonjakkan lagi semangat untuk berjaya. Dia belajar untuk berdikari dan berani untuk mencuba. Dia menjadi seorang pengawas pusat sumber semenjak tingkatan dua sehinggalah tingkatan lima. Dia semakin dikenali di sekolah bukan kerana kecantikan yang ada namun kerana sopan santun dan kecerdasan otaknya. Kawannya makin ramai. Dia boleh berdiri tanpa sepupu di sisi. Mengenali rakan-rakan yang berbeza latar belakang mematangkan dia untuk memahami ragam manusia. Dia mendapat 7A1B dalam PMR. Dia bersyukur dengan keputusan yang dia dapat dan meneruskan pembelajarannya dalam aliran sains tulen. Minat yang mendalam dalam bidang sains membantunya untuk memahami subjek-subjek yang digeruni ramai; biologi, fizik, kimia dan matematik tambahan. Menjadi seorang yang aktif dan dalam masa yang sama belajar sesuatu topik yang baru bukanlah mudah diakuinya. Ketika belajar banyak cubaan dan dugaan yang dihadapinya. Ketika tingkatan empat, dia mencuba nasib untuk menjadi mendapat anugerah tokoh nilam. Dengan memenuhi syarat utama iaitu mencapai peringkat nilam dalam buku nilam dan minat yang mendalam dalam bidang sastera, dia telah berjaya dinobatkan sebagai tempat kedua dalam anugerah tokoh nilam peringkat sekolah. Semenjak itu, dia dilamar oleh guru-gurunya untuk menyertai pertandingan deklamasi sajak peringkat zon, memberikan ulasan buku di khalayak ramai, membuat persembahan ketika majlis hari guru dan perpisahan. Semuanya dilakukan kerana minat dan keikhlasan di hati. Mengakhiri zaman persekolahan merupakan tahun yang paling mencabar baginya. Memegang pelbagai jawatan tinggi di sekolah di samping berusaha mendapat keputusan yang cemerlang dalam SPM merupakan sesuatu yang paling mencabar dan telah mematangkan dia. Menjadi pengerusi, setiausaha, bendahari dan juruaudit dalaman semuanya pernah dipikulnya. Kini dia bukan lagi yang dulu. Dia seorang remaja yang berani mencuba sesuatu yang baru. Sesuatu yang dapat memberi kebaikan kepada diri dan orang lain. Sikapnya yang suka membantu dan empati yang tinggi merapatkan jurang yang ada antara rakan-rakan mahupun guru-guru di sekolah. Dia mula menjinak-jinak dalam bidang penulisan semenjak dia ada keyakinan diri untuk menonjol dalam seribu bintang yang ada. Meskipun sudah lama memendam rasa, baru kini dia mencuba dan terus mencuba. Mencuba melakar sejarah buat kehidupan yang singkat ini. Perjalanan hidupnya berterusan lagi di tempat baru. Dia berkawan dengan ramai kawan. Hidup jauh dari keluarga membuatnya lebih berdikari dan berdiri di kaki sendiri. Pelajarannya yang baru dijadikan sebagai cabaran dalam hidupnya. Minatnya tidak pernah diketepikan iaitu menulis novel dan cerpen. Itulah Nabihah Taquddin yang saya kenal...

0 comments:

Post a Comment

Komen daripada pembaca amat dialukan-alukan.
Sebutir kata yang dihasilkan boleh mengubah seseorang kepada yang lebih baik.

About Me