Sunday, January 1, 2017

Kenangan 2016 : Permulaan hidup 20-an



Assalamualaikum dan selamat sejahtera.

Kehidupan saya pada tahun 2016 adalah yang paling berimpak tinggi. Haha. Amboi ayat dia.
Banyak benda baru yang saya pelajari pada tahun ini. Nampak seperti biasa kalau dilihat dari jauh tetapi sebenarnya luar biasa. Apa benda baru yang saya belajar tu? Mari saya ceritakan satu per satu.

Aktiviti sepanjang tahun 2016

- BBQ bersama Kuliah Satu (Reunion Asasi)
- Orientasi Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM)
- Kursus Kepemimpinan Canselor ke-28
- Entrepreneur Challenge K15
- Kehilangan Gigi
- FESFIK 2016
- Penghantaran Manuskrip Sungguh, Tulus Menyayangimu
- Telefon baru
- Bengkel Penulis Muda bersama Umie Nadzimah
- Anugerah Usahawan Harapan Siswi 2016
- Skrip Pertama Botol Biru
- Mobiliti ke Yogyakarta
- Program Transformasi Kecemerlangan Pelajar Tajaan Yayasan Angkasa
- Majlis Tertinggi Mahasiswa
- Ceramah dan Kursus Projek Keusahawanan Start From Zero!
- Daftar Perniagaan
- Jualan Minuman Mosha

dan banyak lagi yang terselit tanpa sedar telah mendewasakan saya.

Fakulti
Pada permulaan tahun 2016, peperiksaan akhir semester kedua sedang berjalan. Saya masih ingat yang waktu tu bagi saya semester kedua merupakan permulaan semester yang sibuk. Kemudian saya melalui semester ketiga dengan kehadiran jawatan baru. Bagi saya, mungkin itu yang membuat saya sibuk untuk semester ketiga. Melalui semester ketiga dengan tanggungjawab lain di kolej amat mencabar. Saya mengaku banyak kali saya lewat ke kelas. Pernah satu hari, air mata ini mengalir kerana sedar perbuatan diri sendiri. Saya telah dipanggil oleh pensyarah untuk membincangkan masalah saya. Alhamdulillah, setelah itu saya menjadi lebih baik. Namun, ketika itu sudah setengah semester saya lalui. Agak sukar untuk memperbetulkan segalanya. Saya berdoa segala-galanya akan baik untuk semester ketiga ini.

Kolej
Secara jujur, berada di Kolej Canselor banyak mengajar saya erti sebuah pengalaman. Tidak dinafikan, kolej umpama rumah kedua saya. Banyak yang saya pelajari sepanjang berada di sini. Pengalaman pertama dengan mengikuti Kursus Kepemimpinan Canselor (KKC). Saya masih ingat waktu nak pergi ke kursus ini, saya perlu berada di UIAM seharian sebelum datang ke kolej untuk mendaftarkan diri. Boleh dikatakan saya dah tahu semua fakulti dekat UIAM, cara hidup mereka, cara mereka bergaul antara satu sama lain. Saya pernah masuk ke perpustakaan UIAM guna kad matrik abang saya. Saya lihat ruang membaca diasingkan antara lelaki dan perempuan. Saya masih ingat saya guna Wi-Fi dekat sana untuk siapkan manuskrip saya. Tergetar-getar tangan saya waktu nak menaip dekat laptop. Sebabnya saya simpan laptop bukan dekat beg sandang tapi beg yang pegang satu tangan tu. Bayangkanlah saya pergi orientasi satu UIAM tu. Tak menggeletar tangan saya dibuatnya. Hampir tiga jam asyik angkut beg tu guna satu tangan.

Saya sambung balik cerita mengenai KKC. Kursus ni banyak mengajar saya untuk berani menempuh segalanya. Saya tidak tahu macam mana nak luahkan tapi fobia ketinggian semakin menipis setelah saya mengikuti kursus ini. Mungkin apabila kita melakukan sesuatu yang kita takut, kita akan berani untuk menghadapi perkara lain juga. 

Setalah itu, saya masuk pertandingan Entrepreneur Challenge anjuran Kolej 15. Memandangkan saya sudah bermula menjadi AJKT Biro Pembangunan Usahawan, makanya minat usahawan itu ada dalam diri saya. Saya masuk pertandingan ini berkumpulan dengan pelajar senior dan berbangsa cina. Inilah kali pertama saya berkumpulan dengan mereka. Dari situ saya belajar untuk berkomunikasi dan berkawan dengan mereka. Kami bekerjasama untuk menjual barangan yang berinovatif. Namun, tiada rezeki untuk menang waktu tu.

FESFIK 2016? Ni merupakan kemuncak segalanya. Saya pernah kata pada diri saya, beginikah hidup di kolej? Diri sendiri perlu menggerakkan sesuatu kerja. Tiada sesiapa yang akan mengingatkan kita seperti zaman sekolah dulu. Saya selaku krew publisiti ketika itu terkial-kial mencari arah. Saya tidak tahu apa yang perlu saya lakukan untuk kerja publisiti sehinggalah satu malam tu, saya bertanya pada group krew. Sebagai krew publisiti, saya perlu menjadi sosial. Bukanlah sosial tidak tentu tempat, tapi perlu kenal ramai orang. Okaylah, itu sahaja saya nak cerita. Maklumat lanjut boleh baca FESFIK 2016 Melabuh Tirainya.

Ketika saya menghampiri semester kedua, saya telah menjadi unit teknikal untuk Majlis Anugerah Canselor. Banyak juga saya belajar dalam unit ini. Perasaan takut menghantui sepanjang majlis berlangsung. Sebabnya kalau terjadi sesuatu, unit teknikal yang akan dipersalahkan. Unit teknikal adalah unit besar bagi saya kerana kerjanya adalah secara langsung. Kita tidak boleh meramal perkara yang akan berlaku ketika majlis berlangsung. Pada malam itu juga, saya telah mendapat anugerah iaitu Anugerah Usahawan Harapan Siswi 2016. Alhamdulillah, perasaan pada malam itu sukar untuk digambarkan. Memberi saya satu harapan dan sebuah janji yang saya boleh pergi jauh dalam bidang usahawan.

Semester ketiga saya bermula dengan tanggungjawab saya sebagai Exco BPU. Sepanjang satu semester menjadi keluarga MTM, membuat saya lebih dewasa. Saya dapat menganalisis kelebihan saya dan kelemahan saya. Waktu mula-mula jadi MTM, satu benda yang saya kekok. Saya perlu beramah mesra dengan semua. Semua orang memandang saya. Saya tidak lagi dalam dunia warga kolej yang tidak dikenali ramai namun saya seorang warga yang ramai mengenali saya. Saya cuba menyesuaikan diri saya dan akhirnya, semakin baik. Satu sahaja tips, senyum. Memang senyuman adalah satu alat komunikasi yang terbaik. Selain itu, memberi salam apabilah bertemu. Tambahan, saya akan menganggap semua warga sebagai sebuah keluarga. Bukan senang sebenarnya, tambah-tambah lagi kalau berdepan dengan lelaki. Bahagian itu saya masih kekok. Masih memperbaiki lagi. Tak banyak saya nak cerita mengenai pengalaman menjadi MTM selama satu semester ni. Sebabnya memang banyak. In shaa Allah saya akan buat satu post khas.

Kemudian, sebagai MTM BPU, saya telah menganjurkan satu program iaitu Ceramah dan Kursus Start From Zero!. Waktu mula-mula nak menganjurkan program ini iaitu semasa membuat kertas kerja, banyak yang saya fikir. Boleh ke saya anjurkan program ni? Alhamdulillah dengan segala sokongan yang saya dapat daripada ramai pihak, program ini dapat dijayakan.

Penulis
Saya mengambil langkah yang berani dengan cubaan menjadikan harapan saya menjadi realiti. Saya cuba membuat proses penambahbaikan untuk novel Sungguh, Tulus Menyayangimu dan memberi orang yang rapat dengan saya membaca novel saya. Banyak komen yang membangun dan menyakiti hati yang saya terima. Tetapi saya tetap dengan semangat saya. Jadi, saya mula menghantar manuskrip Sungguh, Tulus Menyayangimu kepada penerbit pertama saya iaitu Idea Kreatif Publication. Menunggu selama 3 bulan dengan penuh harapan. Namun, saya tersingkir di tahap pertama. Manuskrip saya tidak layak dibukukan oleh penerbit ini. Hati saya sedikit sedih. Ramai yang memujuk tetapi tetap sama. Sehinggalah satu hari, saya pujuk hati saya untuk teruskan perjuangan. Maka, saya mencuba untuk kali kedua. Kali ini, saya menghantar kepada Anaasa Publication. Sudah hampir 3 bulan juga saya tunggu namun masih belum mendapat keputusan akhir. Kali ini, saya bernekad untuk meneruskan menjadikan manuskrip saya sebagai e-book sekiranya saya tidak terpilih. Adakah saya masih tidak dapat ikhlas dan redha akan ketentuan Illahi? Cukuplah saya tinggalkan rasa sedih ini untuk tahun 2016. Saya akan mula ikhlas apa-apa yang akan terjadi dalam hidup saya sebagai seorang penulis untuk tahun 2017. In shaa Allah.

Setelah mengikuti FESFIK 2016, saya mula untuk menjinakkan diri menjadi penulis skrip. Skrip pertama sudah dihasilkan. Skrip ini bertemakan hubungan kekeluargaan. Proses pengambaran sudah bermula waktu cuti semester kedua. Dan akan bersambung untuk cuti semester ketiga ini. Skrip Botol Biru mengisahkan tentang seorang kanak-kanak lelaki yang menjumpai seorang lelaki tua misteri yang berkaitan dengan kehilangan sebuah botol yang berwarna biru. Melalui skrip ini, hubungan saya dengan adik-adik saya semakin rapat.

Saya juga telah mengikuti Bengkel Penulis Muda bersama Umie Nadzimah. Saya mahu tahu juga rahsia dia dalam penghasilan manuskrip yang bagus. Saya juga nak hasilkan sebuah cerpen. Katanya jika saya mengikuti bengkel ini, cerpen saya boleh dijadikan sebagai buku antalogi. Namun, hampa sahaja kerana saya perlu membayar wang pendahuluan sebanyak RM200. Katanya sebagai modal sebab menghasilkan buku tanpa mana-mana penerbit di Malaysia. Waktu tu, saya perlu memilih antara mendahulukan duit simpanan untuk membuat passport atau bayar duit pendahuluan menjadi penulis. Akhirnya, saya perlu berkorban minat saya setelah berbincang dengan ayah saya selaku penasihat setia saya. So sweet! Perasaan saya waktu tu, tak apalah sayang, kita cuba lain kali. Ops.. (biasalah penulis, perasan je ada orang panggil diri ini sayang)

Mobiliti
Pertama kali perlu ke luar negara, saya amat bersemangat. Namun, jangan lupa ya, duitnya mahu dicari dahulu. Ini pengalaman yang berharga. Sukar dicari. Mobiliti ke Yogyakarta merupakan mobiliti untuk projek BAKTI SISWA. Saya menjadi unit tajaan waktu tu. Tanpa tajaan, mungkin saya dan kawan-kawan perlu keluarkan banyak duit untuk ke Yogyakarta. Pengalaman mancari penaja, mencari modal dan mencari sesuap nasi (okay terlebih pula). Menipu saya katakan yang kami ke sana guna 100% duit penajaan. Kami keluarkan duit sendiri. Alhamdulillah masa tu saya dah ada tabungan. Dengan gaji daripada Fiverr dan duit simpanan waktu belajar dekat asasi dapat saya gunakan untuk menampung perbelanjaan saya. Namun, hampir separuh duit habis digunakan untuk mobiliti ini. Pada asalnya saya agak kecewa yang saya perlu mengorbankan duit simpanan saya namun tanggapan saya salah. Saya pulang dari Yogyakarta ke Malaysia dengan hati yang berat. Meninggalkan daerah istimewa itu. Saya dapat satu perhubungan sepanjang berada di sana. Saya dapat tahu bagaimana rasanya hidup di Indonesia, berada jauh dengan keluarga, bergantung satu sama lain dengan kawan-kawan, berada di satu bumbung sebuah rumah sebagai tempat berteduh dan meluangkan masa cuti di negara orang. Benarlah kata orang, kita perlu menghadapi rasa takut dengan mara ke hadapan dan bukannya mengehadkan aktiviti kita. Nak tahu apa yang saya buat sepanjang berada di sana? Maklumat lanjut boleh baca Trip 1-Fly To Jogja. Saya masih tidak sempat untuk menceritakan lebih banyak apa yang terbuku di hati sepanjang berada di sana tetapi penulisan di blog di atas adalah daripada saya sendiri.

Rezeki
Masuk sahaja tahun 2016, rezeki untuk dapat kerja di Fiverr tiada sama sekali. Banyak tawaran yang saya dapat tetapi tiada yang berjaya. Namun, Allah lebih mengetahui sesungguhnya saya tidak mampu untuk melakukan kerja yang memerlukan komitmen banyak dan pada waktu yang sama menyandang jawatan di kolej. Saya tidak mendapat satu gaji pun semenjak saya memegang jawatan Exco BPU, bahkan gaji terdahulu yang terpaksa saya keluarkan untuk urusan tertentu. Pada waktu yang sama, duit pinjaman tidak cukup untuk membayar yuran. Keadaan keluarga yang memerlukan komitmen bayaran lain. Hati saya cukup hiba ketika itu. Saya minta zakat, namun tidak berjaya sehinggakan saya menangis ketika ditemu duga. Kerja di kiosk sudah tidak boleh kerana itu syaratnya kalau sudah menjadi MTM. Hampir dua bulan tiada apa-apa pendapatan. Namun, langit tidak selalunya mendung, Allah gerakkan hati saya untuk memulakan perniagaan saya sendiri iaitu menjual minuman berperisa atau lebih dikenali sebagai air Mosha. Memang sedap, tip top. Dari situ saya mendaftarkan perniagaan saya. Segalanya bermula setelah saya mengikuti Projek Keusahawanan Start From Zero!. Pendapatan yang saya dapat sama sahaja dengan melakukan kerja di Fiverr, malah lebih ringan sedikit daripada kerja di Fiverr. Pada mulanya saya tidak sedar yang perniagaan saya adalah ganti kepada kepada sumber pendapatan saya di Fiverr. Alhamdulillah saya sudah mula bersemangat untuk bekerja semula. Nak berniaga juga? Maklumat lanjut: Ice Blended Mosha atau lebih mudah boleh berhubung dengan saya.

Keluarga
Keluarga banyak memberi sumbangan dan dorongan untuk saya berjaya. Mereka banyak memberi semangat kepada saya untuk terus berfikiran positif. Mereka memberi cerminan kepada saya untuk melalui kehidupan ini dengan hati yang besar. Melalui skrip Botol Biru, hubungan dengan adik-adik menjadi rapat. Melalui perniagaan Air Mosha dan program SFZ, hubungan saya dengan abang menjadi lebih rapat. Melalui pembelajaran saya di UPM, hubungan saya dengan emak dan ayah semakin rapat. Kami saling bergantung antara satu sama lain. Setiap masalah yang dihadapi dikongsi bersama dan diselesaikan dengan cara baik. Tahun ini menjadi tahun kritikal bagi kami menanti penyiapan rumah baru kami namun alhamdulillah akhirnya pada akhir bulan Disember, kami sudah dapat membersihkan rumah baru. Tapi tahukan bila kita membuat rumah, apa yang perlu kita lakukann setelah itu? Faham-faham saja lah. Oh ya, satu lagi nak cerita. Saya sudah kehilangan satu gigi geraham saya. Saya betul-betul rasa kasihan padanya. Alhamdulillah, baik-baik sahaja sekarang, wahai gigi. Tahun ni juga, ayah saya memberikan telefonnya (LEAGOO Elite 3) kepada saya sebagai ganti kepada telefon saya (ASUS 4.5) yang sedikit bermasalah. Terima kasih ayah!

Kawan
Kawan juga orang penting dalam menjadikan saya lebih dewasa. Kata orang ketika umur 20-an, kawan memainkan peranan yang penting. Kebanyakkan masa kita akan terluang dengan kawan-kawan. Memang benar. Masa saya lebih terluang dengan kawan memandangkan duduk berjauhan dengan keluarga. Sepanjang mengikuti banyak program di kolej, banyak juga yang saya kenal. Selain itu, kawan di fakulti juga semakin banyak kerana kekadang kelas ada ahli baharu. Kawan antara MTM juga semakin rapat dan mula untuk selesa. Kawan-kawan semasa mobiliti yang paling rapat. Apabila berada di negara orang, kawanlah sebagai teman saya sepanjang berada di Jogja. Kawan antara penerima Yayasan Angkasa juga tidak kurangnya. Kami berasal dari negeri yang berbeza dan berlainan universiti. Pihak yayasan angkasa telah mengadakan Program Transformasi Kecemerlangan Pelajar Tajaan Yayasan Angkasa. Melalui program ini, banyak yang saya dapat dan mengenali dengan ramai banyak kawan. Berkawan dengan ramai orang menyebabkan saya lebih terbuka untuk berkongsi idea. Tidak kurang juga berkawan dengan ahli AJKT BPU. Mereka lebih rapat sebenarnya. Waktu mula-mula masuk tahun 2016, saya sempat hadir ke Reunion Kuliah 1 iaitu kawan saya masa asasi dulu. Mereka semua semakin dewasa juga. Senang saya lihat mereka dari jauh. Semoga sihat selalu semua!

Cinta
Kali ini dengan siapa pula ya? Tiada cinta yang lebih indah daripada cinta seorang Pencipta kepada hambanya. 
Okaylah. Saya ceritakan sikit. Rasa suka itu ada tetapi tidak adalah sampai rasa cinta. Mungkin kerana pertama kali menerima kehadiran junior. Lagi satu, saya menjadi ketua kepada ahli-ahli AJKT BPU. Mungkin saya sedikit keliru antara rasa cinta atau rasa tanggungjawab. Alhamdulillah, akhirnya saya dapat membezakan apa itu suka, cinta, sayang dan tanggungjawab. Saya belum lagi berpunya tetapi sudah ada. Faham ke? Haha. Nak faham lebih-lebih boleh baca Bila Cintaku Memilihmu

Kesimpulan
Seronok pula imbas semula kisah saya sepanjang tahun 2016. Siap letak banyak link setiap perenggan. Ada yang sama pengalaman dengan saya ke? Ada kenangan yang hendak dikongsi bersama? Boleh sahaja komen post ini. 

Terima kasih kepada semua yang banyak memberikan sokongan kepada saya dalam menempuhi hidup pertama dalam alam umur 20-an. In shaa Allah, saya akan memperbaiki diri dan membuat yang terbaik dalam apa jua bidang yang saya ceburi. Moga kalian sentiasa dalam rahmat Illahi. Aamin.

0 comments:

Post a Comment

Komen daripada pembaca amat dialukan-alukan.
Sebutir kata yang dihasilkan boleh mengubah seseorang kepada yang lebih baik.

About Me