Friday, January 24, 2014

Novel Sungguh, Tulus Menyayangimu 1 (pg 1 of 2)












Novel : Sungguh, Tulus Menyayangimu
oleh : Nabihah Taquddin

Bab 1 (1/2)


Kilat sambar-menyambar di udara menggegarkan jiwa setiap insan yang mendengarnya. Kerunsingan berlegar di hati seorang gadis. Nurul Fyna berasa begitu tertekan dengan peristiwa yang telah dia lalui pagi tadi. Dia tak tahu sama ada keputusannya adalah tepat atau tidak. Rombongan daripada pihak lelaki telah datang ke rumahnya untuk merisik sekaligus meminangnya. Lelaki itu tidak pernah dia kenali di sekolah rendah mahupun di sekolah menengah. Mana mungkin ditemuinya di universiti, sedangkan dia baru habis menduduki peperiksaan awam SPM. Lelaki itu merupakan pekerja ayahnya yang paling muda. Lelaki itu berkelulusan dalam bidang kejuruteraan awam sama seperti ayahnya.

‘Tak pasal-pasal aku kena kahwin dengan dia, dahlah tak kenal, ada hati datang ke rumah nak meminang aku. Tapi kenapa aku yang dipilihnya?’ Nurul Fyna mendengus sendirian. Semahu-mahunya dia menangis di kamar tidurnya. Dia sudah menjadi tunang kepada Ahmad Ilman. Masa yang berlalu tak mungkin boleh berulang. Ikatan tetap ikatan. Janji tetap janji. Keputusan itu dibuatnya atas dasar taat kepada emak dan ayahnya. Tetapi dia tidak tahu alasan emak dan ayahnya memilih lelaki itu sebagai peneman hidupnya kelak.

Rombongan pihak lelaki datang ke rumahnya tanpa pengetahuannya. Hanya bisikan yang didengarinya daripada perbualan antara emak dan ayahnya yang memberi petanda kepadanya akan datang seorang lelaki asing mengambilnya sebagai kekasih halal. Pada mulanya dia menganggap perbualan itu hanya gurauan semata-mata. Tidak mungkin ada ibu bapa yang menjodohkan anak pada usia yang muda. Keluarganya bukannya kesempitan wang atau mempunyai masalah yang serius sehingga perlu mengahwinkan anak untuk meringankan beban keluarga. Hidupnya selama ini sudah bahagia. Cukuplah sekadar keperluan dipenuhi. Keinginan hanya untuk melengkapkan kekurangan.
“Fyna, nanti ada tetamu khas nak datang rumah kita, pergi bersiap, pakai baju kurung yang mak baru beli tu” kata Puan Mahirah dengan serius.
“Tetamu mana pula ni, kawan lama mak ke?” berdebar-debar hati Nurul Fyna ingin mengetahui gerangan tetamu yang akan datang ke rumahnya.
“Nanti kamu tahulah” kata terakhir Puan Mahirah menimbulkan tanda tanya di hati Nurul Fyna.
Nurul Fyna segera masuk ke kamar air, membersihkan badannya. Dia mencapai gantungan baju kurung berwarna hijau daun di dalam almari pakaian. Selendang dipakai melilit di kepalanya. Sedikit solekan asas menutupi pori-pori kecil di mukanya.
“Fyna, tetamu dah sampai, pergi bancuh air” kata Puan Mahirah sejurus bersalaman dengan tetamu khas yang ditunggu-tunggu sejak awal pagi.

Nurul Fyna membawa dulang berisi cawan-cawan kosong bersama seteko air teh yang panas. Perlahan-lahan dia melangkah kaki membawa dulang dengan berhati-hati walaupun hati sedang berteka-teki gerangan tetamu yang bertandang di rumahnya. Syamira membawa dulang berisi sepinggan pisang goreng. Mereka menghidangkan minuman dan makanan di atas meja empat segi sama. Syamira masuk ke biliknya semula. Nurul Fyna pula disuruh duduk di sebelah emaknya. Di hadapannya bukan sahaja seorang wanita dan lelaki seusia Puan Mahirah dan Encik Fadhli, namun ada seorang lagi sosok tegap seorang lelaki berpakaian kemeja berkotak-kotak yang berwarna hijau. Dia terpandang lelaki itu namun segera dialihkan pandangannya ke arah emaknya. Sebutir demi sebutir perkataan yang dilontarkan ayahnya didengari dengan begitu peka.
“Nilah anak dara kami” Puan Mahirah memperkenalkannya kepada tetamu itu. Nurul Fyna hampir pengsan. Matanya dipejam celik beberapa kali. Betul ke apa yang aku dengar ni?, hatinya berkata-kata meminta kepastian.
“Saya datang bersama kakak saya dan anak teruna saya sebenarnya ada hajat besar, mahu merisik anak tuan menjadi isteri kepada Ilman” kata Encik Hafizuddin dengan tenang.
Muka Nurul Fyna sudah kemerah-merahan. Apa semua ni, aku jadi isteri dia?, tanya Nurul Fyna di dalam hati.
“Harap tuan punya badan sudi dengan hajat kami” kata Puan Rusnani dengan memandang tepat ke arah Nurul Fyna.
‘Apa nak jawab ni, kalau temu duga, memang tak pass lah.. , Nurul Fyna hanya tersenyum-senyum sedangkan minda memerah idea.
“Kalau diam tandanya setuju tu” sambung Puan Rusnani.

Belum sempat Nurul Fyna membuka mulut, Puan Rusnani sudah berada di sisinya untuk menyarungkan cincin tanda persetujuan ditunangkan dengan Ahmad Ilman. Matanya bertakung dengan air mata di saat cincin disarungkan ke jari manis tangan kanannya namun segera diseka dengan lengan baju kurungnya. Dia sendiri tidak tahu ini air mata sedih ataupun gembira. Setelah itu, rombongan lelaki membawa masuk beberapa dulang hantaran dan dibalas pula dengan beberapa dulang daripada keluarganya. Bila masa mak siapkan ni? Macam mana aku tak perasan ni, tanya Nurul Fyna di dalam hati. Keluarganya dan keluarga pihak lelaki mengambil gambar tanda kenangan. Senyuman yang diukir terasa pahit sekali. Ketinggiannya yang rendah setanding dengan bahu Ahmad Ilman. Mahu sahaja dicubit-cubit lengan lelaki itu. Geram!
                        “Emak, kenapa emak mengatur hidup Fyna, Fyna tak tahu apa-apa, lepas tu datang pula secara mengejut, emak memang sengaja rahsiakan dari Fyna” bertubi-tubi Nurul Fyna menyoal emaknya
                        “Emak tengok Fyna asyik termenung jauh, dulupun Fyna tersalah pilih teman, kawan dengan budak nakal, emak risau peristiwa pahit itu berulang” Puan Mahirah menjelaskan kerisauan di hatinya.
                        “Tapi bukan macam ni caranya, kalau mak kata baik-baik, bolehlah Fyna pertimbangkan, tapi sekarang ni mak dah buat Fyna terkejut, betul-betul buat Fyna rasa nak pengsan”
                        “Ayah, tolonglah ayah, Fyna tak nak kahwin dengan lelaki tu, Fyna tak cintakan dia!” Nurul Fyna mengadu kepada ayahnya pula.

Namun, keputusan telah diputuskan. Nurul Fyna tetap juga akan berkahwin di usia yang muda bersama lelaki yang tidak dicintainya. Pelbagai persoalan bermain di mindanya. Alasan emaknya sudah dia ketahui, tapi apa pula alasan ayahnya. Bukankah ayah lebih rapat dengan Ilman, satu pejabat lagi tu, desis hatinya. Memang benar kata emaknya. Semenjak peristiwa dua tahun yang lalu, dia asyik termenung dan mengasingkan diri daripada mana-mana lelaki termasuklah ‘abang kantin’ di sekolahnya. Setelah peristiwa itu, dia berpindah ke sekolah baharu. Nurul Fyna pernah mencintai seorang lelaki ketika di tingkatan tiga. Namun, lelaki itu mengambil kesempatan terhadapnya. Disangkakan kawan, rupa-rupanya duri dalam daging. Dia pernah melihat kekasihnya bersama perempuan lain berdua-duaan menuju sebuah pondok kosong dan melakukan perkara terlarang. Sehari selepas itu, kekasihnya mengajaknya menemani belajar di rumahnya. Tanpa banyak berfikir, dia memutuskan hubungan dengan kekasihnya. Selepas peristiwa itu, hatinya tertutup rapat untuk jatuh cinta.
Mungkin salah aku, terlalu percayakan cinta, sampai tak pandai bezakan lelaki yang baik dan lelaki yang kurang akhlaknya, katanya sendirian di dalam bilik. Dia akur dengan takdir. Mungkin ini jodohnya yang telah tertulis di Luh Mahfuz. Seorang lelaki yang tak pernah hadir dalam hidupnya dan dengan tiba-tiba muncul dalam hidupnya menyatakan terus niat murni untuk menjadikan dia sebagai kekasih yang halal dari sisi agama dan undang-undang.

<<Watak Novel
ikuti karya Nabihah Taquddin di http://www.penulisan2u.my/tag/nabihah-taquddin/
Tajuk karya ini dahulunya dikenali sebagai Aku Jodohnya 1


0 comments:

Post a Comment

Komen daripada pembaca amat dialukan-alukan.
Sebutir kata yang dihasilkan boleh mengubah seseorang kepada yang lebih baik.

About Me